By al-Muhandisu
Assalamualaikum wbt.
Pilihan raya kampus bagi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (MPPUTP) 2010/2011 kini kembali lagi. Sebagai pelajar tahun 3 yang sedang berpraktikal pada semester ini, saya sempat melalui 2 pilihan raya sahaja iaitu pada sesi 2008/2009 dan 2009/2010. Manakala pada sesi 2007/2008, tiada pilihan raya dan semua calon menang tanpa bertanding. Walaupun jauh dari kampus, ia bukan alasan untuk kita selaku mahasiswa untuk tidak mengambil cakna tentang perkembangan politik kampus. Seandainya malas berdepan dengan pilihan raya kampus, apatah lagi nak berbincang tentang perubahan negara?
Mahasiswa Lesu
Pada 29 September 2010, Proses Penamaan Calon bagi Kerusi Umum (General Constituency) dan Kerusi Program (Programme Constituency) telah berlangsung menandakan bermulanya episod baru kepimpinan mahasiswa UTP. 7 orang calon bakal berpencak di pentas siasah ini untuk merebut 5 kerusi Majlis Tertinggi MPPUTP dan nampak gayanya kali ini, tiada pertandingan buat kerusi program kerana tidak cukup calon untuk bertanding. Bilangan calon hanya bertambah seorang sahaja daripada calon sesi 2009/2010. Angka tersebut sudah cukup jelas menggambarkan tahap kesedaran politik mahasiswa UTP. Tidak perlu untuk diulas panjang lebar. Itu belum dikira statistik pelajar turun mengundi yang tidak pernah mencecah 50% peratus setiap tahun malah hanya di sekitar 20 hingga 30% sahaja.
PRK tahun lepas menyaksikan beberapa kontroversi berlaku. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan ramai mahasiswa UTP mula bersuara dan kampus UTP seolah-olah ‘bergegar’ dengan ‘kebangkitan’ ini yang dicanangkan sebagai ‘Revolusi Oktober’. Akhirnya benar tekaan ramai pihak bahawa suara-suara ini akan kembali lesu tak bermaya. Slogan perubahan saban hari dilaungkan, akhirnya, kata tinggal kata. Sudah muktamad hanya 7 orang sahaja bertanding untuk 5 kerusi. Mudah, pengundi hanya perlu menyingkirkan 2 orang. Perubahan apa yang diinginkan? itu yang masih belum jelas. Rujuk Blog Saudara Hasmadi Hasbi untuk ulasan keputusan PRK lepas supaya lebih jelas dengan situasi yang berlaku.
Tujuan PRK
Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan MPP. MPP berfungsi sebagai mata, telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian disini. Ini bermakna pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus. Memimpin para pelajar untuk membina budaya tinggi yang berkait rapat dengan budaya ilmu dan segala ciri-ciri yang perlu ada dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.
Bagi saya, karisma merupakan elemen yang paling penting bagi seorang pemimpin pelajar. Konotasi ini cukup luas merangkumi cara bekerja, adab, personaliti, ekspresi idea, akhlak dan kemahiran komunikasi serta interaksi sosial yang mapan. Tambahan pula, UTP telah mensasarkan untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh (well-rounded).
Menurut Tony Alessandra di dalam bukunya ‘Charisma: 7 Keys To Developing The Magnetism That Leads To Success’, salah satu ciri utama karismatik ialah potensi menyampaikan visi dan idea secara berkesan. Memetik kata beliau
harismatic people possess a similar,almost childlike faith in their vision and their ability to create change. People will follow leaders whose vision inspires them and makes their lives more meaningful”.
Justeru, bagi menghasilkan mahasiswa yang well-rounded, pilihanraya kampus merupakan medan yang paling sesuai untuk mencapai tujuan tersebut. Pemimpin-pemimpin muda ini diharapkan benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk menerajui kepimpinan negara kelak. Bak kata bijak pandai, proses kepimpinan ibarat menghasilkan air suling dimana air tersebut perlu melalui pelbagai peringkat proses penapisan dan sulingan sebelum menjadi air tulen. Akhir kalam, sekalung tahniah dan penghargaan buat pimpinan MPPUTP yang telah berundur dan selamat bermanifesto serta mengundi buat semua warga UTP.
0 comments:
Post a Comment