KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
13 Oktober 2010/ 1431 H
PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konsert 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dianjurkan oleh Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music bakal diadakan pada hari khamis ini di Stadium Bukit Jalil.
PKPIM berpendirian tegas membantah konsert Adam Lambert yang bakal diadakan berkenaan memandangkan konsert tersebut melibatkan artis yang berlatar belakangkan peribadi moral yang negatif dan bertentangan dengan nilai agama dan norma-norma kehidupan serta kebudayaan negara ini.
Adam Lambert, atau nama sebenarnya Adam Mitchel Lambert yang berketurunan Yahudi dikenali sebagai artis gay atau homoseksual. Selain itu, beliau juga sebelum ini aktif membuat persembahan di Hebrew, Israel pada tahun 2005 sempena beberapa acara dengan menyayikan beberapa lagu popularnya seperti Shir LaShalom dan lagu tema Yahudi iaitu The Ten Commandments-The Musical. Baca seterusnya...
PKPIM meluahkan kebimbangan yang sangat besar akan kesan penganjuran konsert seperti ini kepada generasi muda kerana melihat kepada trend ikutan budaya Barat semakin menjadi-jadi di Malaysia. Gejala hedonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini. Perlu disedari bahawa, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalan budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya Barat ini.
Justeru itu, PKPIM menggesa supaya penganjuran konsert terbabit dibatalkan. PKPIM juga menyeru agar semua kembali bersama-sama menghayati dan menjadikan kesenian Islam dan kemurnian bangsa itu menjadi teras kepada pemerkasaan budaya kita. Sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menitik beratkan kepada implementasi elemen Islam dan unsur budaya timur dalam segala program kebudayaan dan penyiaran yang diadakan di negara ini.
Masyarakat dan kerajaan umumnya perlu sedar bahawa kita sudah mempunyai acuan kita sendiri untuk berjaya. Usah hanya menjadi pengagum budaya orang lain, sedangkan kita tidak sedar akan kemuliaan budaya kita sendiri. Kekuatan tradisi keagungan Islam dan ketuanan Melayu yang kita warisi berabad lamanya sudah cukup utuh menjadi gagasan kukuh mengangkat kita menjadi umat gemilang atau “khayra ummah” menjelang tahun 2020.
“Hidup Biar Berjasa”
MOHD AKMAL AFIQ BIN MOHAMAD
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
0 comments:
Post a Comment