Pilihanraya kampus kembali lagi di bumi UTP. penamaan calon baru sahaja berlalu 2 hari yang lalu. Namun kehangatan PRK itu sendiri masih belum kelihatan. Apa yang pasti, kebanyakan rakan-rakan mahasiswa UTP tidak ambil tahu berkenaan PRK yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
Ini merupakan isu yang tidak boleh diambil ringan. PRK adalah medan untuk para pelajar mengenal calon yang bakal mencorak suasana politik dan kepimpinan di kampus. Langkah mengecualikan diri dari mengambil tahu isu besar sebegini merupakan satu kegagalan dalam proses pendidikan dalam usaha menghasilkan insan yang berfikiran luas, tebuka, kritikal dan matang. Peranan mahasiswa itu perlu untuk menghangatkan suasana PRK itu bagi memastikan calon yang bakal naik di tampuk pimpinan MPPTP selepas ini benar-benar merupakan figur yang mampu menjadi suara memperjuangkan hak mahasiswa.
Beberapa hari yang lalu, UTP telah menjadi tuan rumah untuk rancangan suara siswa bersama Dr Fazley yang antara lain membincangkan isu berkenaan kematangan mahasiswa. Mahasiswa yang matang itu tidak semestinya kencang dalam berpolitik waima di kampus ataupun di luar. Tetapi kecaknaan terhadap politik merupakan satu juzuk yang perlu untuk menjadi indikator bagi menilai kematangan seorang mahasiswa.
Barangkali ada berpendapat politik kampus tidak penting dan tidak memberi kesan pada masyarakat sekitar. Sedangkan fakta yang tidak dapat disangkal ialah, menteri-menteri yang ada sekarang kebanyakannya ialah golongan pemimpin yang menguasai politik kampus semasa sesi pengajian mereka. Ada berada di pihak kerajaan dan ada berada di pihak pembankang.
Mulakan budaya bersih dalam berpolitik boleh bermula dari kampus. Tetapi untuk memulakan pembersihan politik kotor yang diceritakan di peringkat nasional memerlukan penglibatan awal golongan mahasiswa dalam politik kampus(PRK).
Pada rakan-rakan mahasiswa UTP, apa salahnya kalau kita sama-sama berada dalam suasana PRK selama seminggu ini bagi menilai calon yang paling layak untuk memimpin MPP selepas ini.
0 comments:
Post a Comment