Showing posts with label Media conference. Show all posts
Showing posts with label Media conference. Show all posts

Wednesday, October 13, 2010

PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
13 Oktober 2010/  1431 H

PKPIM BANTAH PENGANJURAN KONSERT ADAM LAMBERT

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konsert 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dianjurkan oleh Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music bakal diadakan pada hari khamis ini di Stadium Bukit Jalil.

PKPIM berpendirian tegas membantah konsert Adam Lambert yang bakal diadakan berkenaan memandangkan konsert tersebut melibatkan artis yang berlatar belakangkan peribadi moral yang negatif dan bertentangan dengan nilai agama dan norma-norma kehidupan serta kebudayaan negara ini.
Adam Lambert, atau nama sebenarnya Adam Mitchel Lambert yang berketurunan Yahudi dikenali sebagai artis gay atau homoseksual. Selain itu, beliau juga sebelum ini aktif membuat persembahan di Hebrew, Israel pada tahun 2005 sempena beberapa acara dengan menyayikan beberapa lagu popularnya seperti Shir LaShalom dan lagu tema Yahudi iaitu The Ten Commandments-The Musical. Baca seterusnya...

Walaupun Adam Lambert menerusi laman Twitter beliau bersetuju untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi penganjuran konsert beliau ini melambangkan seolah-olah kita menerima dan membenarkan seorang individu yang tidak bermoral ke dalam masyarakat. Tambahan pula, konsert seperti ini jelas melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan  1971 iaitu antara lain menetapkan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan dan berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.

PKPIM meluahkan kebimbangan yang sangat besar akan kesan penganjuran konsert seperti ini kepada generasi muda kerana melihat kepada trend ikutan budaya Barat  semakin menjadi-jadi di Malaysia. Gejala hedonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini. Perlu disedari bahawa, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalan budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya Barat ini.

Justeru itu, PKPIM menggesa supaya penganjuran konsert terbabit dibatalkan. PKPIM juga menyeru agar semua kembali bersama-sama menghayati dan menjadikan kesenian Islam dan kemurnian bangsa itu menjadi teras kepada pemerkasaan budaya kita. Sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menitik beratkan kepada implementasi elemen Islam dan unsur budaya timur dalam segala program kebudayaan dan penyiaran yang diadakan di negara ini.

Masyarakat dan kerajaan umumnya perlu sedar bahawa kita sudah mempunyai acuan kita sendiri untuk berjaya. Usah hanya menjadi pengagum budaya orang lain, sedangkan kita tidak sedar akan kemuliaan budaya kita sendiri. Kekuatan tradisi keagungan Islam dan ketuanan Melayu yang kita warisi berabad lamanya sudah cukup utuh menjadi gagasan kukuh mengangkat kita menjadi umat gemilang atau “khayra ummah” menjelang tahun 2020.
“Hidup Biar Berjasa”

MOHD AKMAL AFIQ BIN MOHAMAD
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Continue Reading...

Sunday, October 3, 2010

Kenyataan Rasmi Presiden RMUTP: Konsert Hedonisme; Green Concert

Assalamualaikum wrt

Memahami bahawa tumpuan mata seluruh warga kampus sekarang sedang tertumpu kepada konsert hedonisme yang akan berlangsung dalam masa terdekat, RMUTP mengambil langkah untuk membangkitkan isu ini untuk perhatian warga kampus. Pada bulan ini sahaja, 3 konsert akan diadakan di UTP; Sesuatu yang agak membimbangkan sekiranya diperhalusi daripada aspek perkembangan intelektual kampus.


Timbul rasa keperluan di pihak RMUTP untuk memberikan sedikit komentar berkenaan isu yang hangat ini.


"Fokus utama pada kali ini tentulah konsert pertama yang akan diadakan semester ini, Green Concert yang akan dianjurkan oleh NGC pada hari esok, 6 Oktober 2010 (Selasa)"



Pendirian RMUTP


Perlu difahami dengan sejelas-jelasnya bahawa RMUTP tidak sekali-kali menggunakan pendekatan busy body dan suka mengacau mana-mana pihak. RMUTP adalah sebuah pertubuhan profesional yang turut menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua warga kampus UTP tanpa mengira bangsa dan agama. Kami memahami betapa penatnya dalam penganjuran mana-mana event dan menghargai segala penat lelah yang telah diberikan oleh pihak penganjur konsert.


"RMUTP juga bukan tempat menghukum tetapi tempat untuk memberikan pemahaman kepada warga kampus dan menjaga kebajikan warga Muslim di UTP"

"Tidak semua pihak memahami Islam sepenuhnya, maka menjadi tanggungjawab kepada sesiapa/golongan yang diberikan kelebihan kefahaman daripada Allah Taala untuk menyampaikannya kepada umum" 


Sabda Rasulullah saw; 
"Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat"

Firman Allah Taala; 
Hendaklah ada satu golongan di antara kamu yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (Surah al-Imran; 104)


Hubungan Dingin RMUTP-Penganjur Event-event Hedonisme?

Suatu ketika dahulu, ana sendiri tertanya-tanya kenapakah poster RMUTP pernah dikoyakkan, diconteng dan sebagainya. Kenapa pula poster event-event hedonisme dibuang dalam tong sampah, diboikot dan sebagainya.


"Timbul persolan, pihak manakah yang sebenarnya terlibat dalam hal ini?"

"Wujudkah perasaan benci dalam diri kedua-dua belah pihak? Benarkah wujudnya RM Phobia di UTP? Benarkah RM memboikot 100% event-event hedonisme di UTP?"


Sedarkah semua warga kampus bahawa tidak ada mana-mana pihak pun daripada RMUTP @ penganjur event-event hedonisme yang bertindak seperti perkara yang dinyatakan di atas? Realitinya, hampir setiap event hedonisme, RMUTP mengambil pendekatan untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian melalui  titik persamaan yang wujud bagi kedua-dua belah pihak.

"RMUTP pada kepimpinan kali ini ingin mengambil pendekatan untuk memaklumkan kepada umum mengenai pendekatan dan inisiatif yang telah dan akan diambil oleh RMUTP dalam isu hedonisme melalui posting ini. Insya-ALLAH"

Pada kepimpinan kali ini, RMUTP telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan meeting bersama Majlis Tertinggi Talent Search, Music Persuit, Euphonious dan yang terbaru Green Concert. Tidak lupa juga bersama Konsert Convofair dalam masa terdekat.


Majoriti daripada warga kampus tidak mengetahui hal ini dan mengambil jalan mudah dengan mengatakan RMUTP bermusuhan dengan pihak-pihak yang terbabit. Namun, realiti sebenarnya, kami duduk semeja berbincang, makan semeja dan bersenda gurau dalam mencari penyelesaian terhadap segala permasalahan yang melanda. 

"Sebarang spekulasi mengenai hubungan dingin antara kedua-dua belah pihak, pendekatan RMUTP yang tidak mesra dan menentang adalah sama sekali tidak tepat dan berdasarkan kepada ketidakfahaman warga kampus sahaja"

Berikut ana maklumkan antara resolusi Meeting yang dijalankan antara RMUTP dan konsert-konsert hedonisme yang ana pernah pengerusikan.

Talent Search 2009
  • Pemisahan tempat duduk antara lelaki dan perempuan
  • Penetapan guideline pemakaian yang sopan terhadap peserta dan artis
  • Kawalan Majlis dari pihak Talent Search
  • Pengerusi akan memaklumkan pemisahan lelaki dan perempuan

Euphonious 2010

  • Kawalan suasanan konsert daripada pihak Euphonious
  • Pengedaran flyers daripada Rakan Masjid dalam memberi pendidikan kepada warga kampus
  • Pendidikan Rakan Masjid melalui perkongsian di cafe-cafe patut diteruskan
  • Perubahan sedikit demi sedikit daripada pihak Euphonious

Music Persuit 2010










  • Penyediaan tempat duduk khas untuk penonton lelaki, perempuan dan keluarga
  • Update progress daripada pihak RMUTP dan Music Persuit yang berterusan
  • Penggunaan tema "Motivation" dalam aktiviti Music Persuit
  • Penyediaan guideline pemakaian peserta dan artis
  • Kawalan lagu dan suasana konsert daripada HICOM Music Persuit

Green Concert 2010


DSC_9805.JPGDSC_9784.JPG

  • Pemisahan tempat lelaki dan perempuan
  • Kawalan lagu dan persembahan daripada HICOM Green Concert
  • Penggunaan hanya tema "hijau" dan "ketuhanan" dalam persembahan
  • Persembahan Koir hanya di awal majlis
  • Majlis tidak menggangu waktu solat
  • Hanya artis lelaki yang bertindak sebagai vocalist.
  • Lagu yang disampaikan sepanjang konsert tidak melalaikan 
  • Pihak Green Concert akan berusaha sedaya upaya memastikan peserta dan artis menutup aurat dan bersopan

Kami sentiasa mencari ruang dan peluang dalam mewujudkan integrasi dan kefahaman yang jitu bagi warga kampus UTP. Tentunya usaha-usaha RMUTP untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian dalam setiap kemelut yang melanda membuktikan bahawa RMUTP komited dan berusaha sedaya upaya untuk membina hubungan yang baik dengan semua golongan tanpa mengira sebarang perbezaan yang wujud.

"Sejujurnya kami masih mencari ruang-ruang yang membolehkan RMUTP tidak lagi menentang penganjuran konsert hedonisme di UTP. RMUTP sentiasa berusaha memberikan kefahaman dan mendoakan agar konsert hedonisme yang dijalankan di UTP mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam dan tidak melampaui batas yang ditetapkan Islam. Hal ini penting memandangkan majoriti penonton yang hadir adalah beragama Islam dan menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga kebajikan warga Muslim di UTP"


RMUTP dan pendirian terhadap Green Concert

Sejujurnya, berdasarkan resolusi meeting yang pernah dicapai sepanjang mesyuarat yang dijalankan dengan penganjur konsert hedosisme setakat ini,  Green Concert yang akan berlangsung pada esok hari adalah ruang terbaik setakat ini untuk RMUTP menyokong dan menunjukkan kepada warga kampus integrasi dan kefahaman yang wujud antara RMUTP-Konsert Hedonisme. Segala perancangan yang ditetapkan NGC dan persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat untuk Green Concert menepati apa yang digariskan oleh Prof Yusof al-Qaradawi, Pemimpin Ulama' Dunia Islam  mengenai hiburan dalam Islam. 


Sejujurnya kami sedia maklum bahawa tidak semua resolusi yang dibincangkan bersama penganjur konsert hedonisme sebelum ini berjaya dijalankan dengan jayanya.


"Namun fahamilah warga kampus sekalian, bahawa pendekatan RMUTP adalah memahamkan dan bukan memaksa. RMUTP percaya segala perancangan yang telah dirancang tidak berjaya dijalankan atas sebab-sebab yang tertentu dan sentiasa komited untuk terus berbincang dan mencari penyelesaian"

"Kami tidak pernah mengkritik sahaja seperti sesetengah pihak tetapi kami mengambil pendekatan memahamkan  dan berbincang kerana itu adalah kewajipan kami dalam usaha dakwah yang direncana oleh RMUTP dan diamanahkan oleh Allah Taala"


Statement Rakan Masjid

Sepanjang penubuhan RMUTP, tidak pernah walau sekali Presiden mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan @ membenarkan mana-mana warga kampus terutamnya AJK Lajnah RMUTP untuk ke mana-mana konsert hedonisme. Maka, sebarang spekulasi mengenai penentangan terbuka RMUTP adalah tidak benar sama sekali.
"Untuk Green Concert yang akan diadakan dalam masa terdekat, RMUTP tetap mengambil pendirian yang sama untuk tidak mengeluarkan statement rasmi daripada RMUTP untuk membenarkan/tidak membenarkan AJK RMUTP ke sana memandangkan konsert ini bukan dalam kawalan kami dan kami tetap tidak mampu menjanjikan dan memastikan segala resolusi yang dicapai akan dilaksanakan oleh pihak penganjur. Untuk Green Concert, terpulanglah kepada warga kampus untuk menilai dan membuat pertimbangan masing-masing"


Namun, adalah difahami daripada penjelasan di atas bahawa inilah konsert pertama yang mempunyai peluang untuk menepati apa yang digariskan Islam dan mungkin akan menjadi contoh kepada warga kampus dalam penganjuran event-event hedonisme selepas ini melalui resolusi yang telah dicapai sekiranya dilaksanakan.

Kepada pihak NGC, ana berdoa semoga antum boleh mempertahankan resolusi yang telah dipersetujui bersama. Jauh di sudut hati kami, kami tetap risau dengan lambakan penganjuran konsert hedonisme yang bercambah seperti cendawan di kala hujan di UTP.


"Sekiranya pihak NGC berjaya menjalankan segala resolusi yang dibincangkan sebelum ini, maka tahniah ana ucapkan. Tidak mustahil NGC akan menjadi contoh kepada kerjasama terhebat di UTP dan akan menjadi contoh penganjuran konsert yang mengikuti lunas-lunas Islam dan perlu disokong oleh semua warga kampus tanpa mengira sebarang perbezaan sekiranya resolusi dijalankan sepenuhnya"




Penutup

Akhir kalam, nasihat/permintaan ana kepada semua penganjur konsert hedonisme; Jagalah suasana konsert dengan sebaiknya dan gunalah pendekatan motivasi, intelektual dan sebagainya yang memberikan kelebihan kepada kampus UTP melalui event-event yang dianjurkan. Sokonglah usaha-usaha intelektual yang menjadi nadi perjalanan kampus.


Untuk Green Concert pada esok hari, kami berdoa supaya semua resolusi yang telah dicapai akan berjaya dilaksanakan. Semoga hasil meeting yang mensasarkan Green Concert sebagai contoh aktiviti konsert hedonisme di UTP yang merangkumi semua aspek dan menepati sasaran semua pihak berjaya dijayakan. Bagi RMUTP, integrasi melalui pemahaman dan perbincangan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk keharmonian agama dan kampus.
Insya-ALLAH.








Continue Reading...

Sunday, September 26, 2010

Hedonisme : Satu Ancaman! - Ketua Penerangan RM UTP

Hedonisme... Satu Ancaman!!!
http://suaramtmerm.blogspot.com/2010/09/hedonisme-satu-ancaman.html

Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji kita panjatkan kehadrat Allah kerana masih lagi memberikan kita umur yang panjang untuk bersama-sama dalam meneruskan sesi pembelajaran selepas cuti panjang bagi meraikan Hari Raya Aidilfiti. Bagi pihak Rakan Masjid UTP, tidak terlambat kiranya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga Universiti Teknologi PETRONAS dan juga kepada selurh pembaca Suara An-Nur ini.

Puasa yang dijalankan pada tahun ini begitu unik sebenarnya. Disamping kita berpuasa untuk cuba membebaskan diri daripada belenggu nafsu dan syaitan, Malaysia sendiri sebenarnya menyambut satu hari pembebasan selepas beratus tahun dijajah oleh kuasa lain. Perjuangan yang dibawa oleh pejuang-pejuang kemerdekaan ini sewajarnya tidak dilupakan begitu sahaja. Selepas beratus tahun dikuasai kita kembali berjaya memerintah negara sendiri mengikut acuan yang sepatutnya. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan yang kita kembali dijajah. Walaupun tidak dijajah secara fizikal, kita sekarang dijajah dengan pelbagai bentuk serangan minda. Antaranya, fahaman berhibur secara melampau iaitu Hedonisme.

Hedonisme itu ringkasnya satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila. Hedonismelah yang melanda generasi belia kini. Ia menimbulkan kebimbangan negara terutama ketika Malaysia berhasrat menjadi negara maju. Berdasarkan sejarah, hedonisme berasal dari Eropah selepas zaman Ratu Victoria. Beliau yang fanatik dengan ajaran Kristian melarang segala perbuatan yang dianggap boleh menghina agama. Antara arahan yang dikeluarkannya ialah mewajibkan penggunaan penutup meja bertujuan menutup kaki meja. Kebanyakan kaki meja pada zaman itu mempunyai ukiran berbentuk kaki perempuan yang mengghairahkan. Oleh kerana perbuatan itu dianggap menghina perempuan dan bertentangan dengan agama, beliau mengeluarkan arahan supaya kaki meja ditutup menggunakan kain. Selain itu, pelbagai arahan dikeluarkan bagi menyekat kebebasan rakyat seperti larangan mengenai seks yang dianggap keterlaluan oleh masyarakatnya, hiburan dan sebagainya.

Selepas pemerintahan Ratu Victoria, keadaan mula berubah. Dengan itu bermulalah era dunia moden yang membenarkan semua amalan yang dulunya dilarang. Kebebasan itu menular di kalangan masyarakat hingga melampaui batas susila dan agama. Pergaulan bebas, hiburan yang melampau dan seumpamanya. Pemerintah turut menggalakkan pelbagai pesta secara besar-besaran. Hasilnya masyarakat hanyut dibuai hawa nafsu dan mengetepikan agama daripada kehidupan. Rakyat mula mengejar kepuasan nafsu semata-mata. Mereka sentiasa leka mencari kepuasan jasmani tanpa didasari asas pemikiran dan batas susila yang seharusnya dipelihara. Melalui perkembangan masa, pengaruh budaya itu kemudiannya menular ke negara lain di dunia termasuk negara ini.

Secara umumnya, hedonisme itu boleh dianggap neokolonialisme yang dikhususkan serangannya kepada generasi muda oleh Barat. Pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup ‘happy go lucky’, mengunjungi konsert hiburan, seks bebas dan sebagainya adalah termasuk dalam tabiat ini. Secara jelas, konsep yang dikemukakan itu hanya mementingkan kepuasan nafsu semata-mata. Budaya ini begitu cepat menular dalam kalangan remaja yang terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa bosan terutama remaja di Bandar besar. Dengan kemunculan pelbagai pusat hiburan yang tidak dikawal ketat, hedonisme merebak dengan pantas tanpa disedari mereka. Keadaan bertambah buruk apabila penyalahgunaan dadah begitu berleluasa. Selain itu, peningkatan kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi adalah akibat gejala negatif di kalangan remaja yang terpengaruh dengan hedonisme.

Islam awal-awal lagi menolak gejala negatif ini. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sewaktu fasa pertama dakwahnya di Makkah menekankan keburukan hawa nafsu dan menyeru manusia mengamalkan akhlak terpuji. Sewaktu Islam mula berkembang di tanah Arab, gejala buruk seperti minum arak, pelacuran dan berfoya-foya dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah begitu ketara. Hanya selepas Islam bertapak kukuh perkara itu dapat dibendung. Islam juga mengajar penganutnya melakukan perkara yang berfaedah dan menjauhi perkara yang sia-sia dengan mengemukakan konsep semua perbuatan akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak. Malah dalam hadis yang diriwayatkan, Rasulullah bersabda yang bermaksud bahawa Islam itu adalah pekerti yang terpuji. Hadis itu dengan jelas mengajar umat Islam bahawa sebarang pekerjaan atau sikap yang bertentangan dengan nilai dan norma agama akan mendapat balasan seksaan di akhirat dan terkeluar dari ajaran agama.

Justeru, saya mewakili pihak Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS melahirkan rasa bimbang dengan situasi di kampus ini. Untuk makluman pembaca sekalian, sekurang-kurangnya tiga konsert hiburan akan diadakan pada bulan Oktober ini. Antaranya adalah konsert NGC, Music Pursuit dan juga konsert di tapak Convofair. Kami menyeru kepada semua pembaca agar sama-sama berfikir dan merenung kembali akan satu firman Allah:

Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Al Hadid:20)

Untuk akhirnya, marilah kita bersama-sama dalam membina biah solehah di kampus ini. Moga-moga Allah akan menolong orang yang memperjuangkan agamanya. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan selamat berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Wallahua’lam.

Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS
Continue Reading...

Monday, August 30, 2010

PM : PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-53

PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 OLEH
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PADA 30 OGOS 2010 (ISNIN)
'1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI NEGARA'
------------------------------
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
1.    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, esok, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53.
2.    Dalam tempoh lebih lima dekad kemerdekaan, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan yang telah dialami tanah air tercinta. Dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, Malaysia telah tumbuh berkembang menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.
3.    Sesungguhnya, perubahan ini tidak datang bergolek atau ibarat bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, kejayaan yang dinikmati adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang  kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan. Ia juga manifestasi keberanian dan kesanggupan kerajaan serta rakyat untuk meneroka jalan dengan langkah yang progresif.
4.    Sejarah memperistiwakan bahawa, bapa-bapa kita peneroka kepemimpinan negara, tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar mana pun cabaran yang melanda. Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat. Almarhum Tunku dan para sahabat misalnya tidak rela untuk terus menjadi warga negara terjajah. Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakan pula tidak membiarkan Malaysia pasca tragedi 13 Mei hilang harapan. Allahyarham Tun Hussein dan taulan tidak bersimpuh menyerah, bahawa, keganasan komunisme tidak dapat ditewaskan. Manakala Tun Dr. Mahathir dan handai seperjuangan tidak mahu menerima kebijakan lazim bahawa sebuah negara pertanian tidak mampu berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden dengan infrastruktur berkelas dunia. Seterusnya Tun Abdullah pula, berusaha memupuk modal insan sebagai landas kejayaan negara bangsa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
5.    Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo yang sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara. Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil  yang melampaui kebiasaan.
6.    Justeru, cabaran sebenar kita hari ini adalah untuk mentransformasikan Malaysia supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ke arah itu, kita telah pun  memasakkan asas-asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan atau GTP  dan pelan  transformasi ekonomi yakni ETP sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah  matlamat  mulia tersebut.
7.    Sememangnya, Malaysia yang aman, maju dan makmur akan mendatangkan nikmat kepada semua rakyat. Bagi maksud ini kita perlu menggembleng setiap bakat yang ada di kalangan rakyat Malaysia. Setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional.
8.    Lalu, sudah tiba masa kita memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada. Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah  berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja  menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga  ia melibatkan pengaliran bebas modal insan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9.    Di atas segalanya, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini. Teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.
10.    Kita tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu-isu perkauman serta agama. Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.
11.    Maka, saya yakin lagi percaya, semua rakyat Malaysia  cintakan keamanan, mahukan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
12.    Ketahuilah bahawa, kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada dari ancaman dalam mahupun  luaran.
13.    Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan  dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi.
14.    Oleh itu, saya ingin menyeru semua warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-53 ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik di mana yang mengehadkan kejayaan kita hanyalah bakat dan kesanggupan  untuk bekerja keras.
15.    Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, Janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat. Merdeka, Merdeka, Merdeka.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dato' Sri Mohd Najib
Putrajaya
30 Ogos 2010
Continue Reading...

Mahasiswa sokong tuntutan royalti Kelantan

Mahasiswa   
PENDAHULUAN
Pada 1975, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkaitan pemberian royalti kepada negeri Kelantan. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dibayar secara tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Royalti minyak Kelantan ditimbulkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada Julai 2009. Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menganggar royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbaru menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan berikutan itu kerajaan negeri mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion. Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion. Kerajaan negeri Kelantan telah menuntut antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri Kelantan menerima royalti minyak sebanyak 5 % daripada hasil perolehan petroleum.

Pada 8 Julai 2009,Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan untuk lebih kredibiliti dengan kabinet membuat keputusan biarlah Petronas menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut perlembagaan dan perundangan. Royalti telah dimanipulasikan dengan pemberian wang ehsan sejumlah RM20 juta yang sehingga kini tidak diketahui kemana perginya wang tersebut. Namun rakyat Kelantan tidak boleh menerima suatu permainan politik yang jelas membodohkan orang Kelantan.

Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk membawa isu royalti rakyat Kelantan ini sebagai agenda yang perlu kami bawa dan perjuangkan bersama rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu. Isu royalti ini melampaui sempadan politik kepartian dan bangsa, maka amat perlu untuk mahasiswa berpatisipasi untuk turut menyatakan pandangan dan tuntutan bagi isu ini.
Berlandaskan prinsip Islam dan civil society, melalui pembacaan dan penelitian fakta, maka kami terpanggil untuk menyuarakan pandang bersama-sama rakyat Kelantan.

Kenyataan Mahasiswa:

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA
Isu tuntutan royalti menjadi agenda besar seluruh rakyat Kelantan yang inginkan hak mereka untuk mendapatkan wang tersebut. Perjuangan menuntut royalti bukannya bersifat desakan, tetapi ianya bersifat tuntutan hak yang telah dirampas oleh pihak tertentu.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama sebanyak 0.2%.

Melihat kepada angka dan statistik tersebut, jumlah penduduk majoriti Kelantan adalah kalangan orang Melayu.

Mahasiswa juga melahirkan rasa hairan kenapa kerajaan sekarang yang dikemudi oleh sebuah parti melayu tidak memandang betapa perlunya untuk diberikan royalti kepada rakyat Kelantan yang sememangnya berada dalam ekonomi yang kurang baik.

Jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan ialah 10.6 peratus atau seramai 3,550 orang. Statistik 2008, jumlah penduduk Kelantan adalah 1,453 000. Dengan jmlah 1 billion yang dituntut, maka rakyat Kelantan mendapat manfaat berjumlah RM600 bagi setiap penduduk secara nisbahnya.

Dengan pemberian royalti juga, jumlah kemiskinan tegar sudah pasti dapat dikurangkan. Mahasiswa memandang berat sosio ekonomi rakyat yang sepatutnya sudah tidak timbul masalah kemiskinan tegar dikala negara sudah hampir munuju negara membangun sepenuhnya menerusi wawasan 2020.

Dengan tema rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pihak kerajaan pusat patut mempertimbangkan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan “wang mereka” demi kegunaan sara hidup seharian. Kita juga menuntut agar suatu audit yang lengkap tehadap penyaluran royalti sekiranya diberikan kepada kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri gagal menyampaikan royalti tersebut kepada rakyat Kelantan, maka mahasiswa dan rakyat boleh memberikan hukuman yang setimpal pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya jika kerajaan pusat berdegil dengan pendirian tersebut, maka amat wajar rakyat untuk mahasiswa dan rakyat Kelantan memberikan pengajaran kepada sepatutnya pada pilihanraya akan datang.

MAARUF CLUB UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA


Berpaksikan kepada sebuah negara yang menjadikan teras demokrasi sebagai tunjang kesepakatan bersama, maka adalah wajar untuk Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri memainkan peranan masing-masing berteraskan kepada semangat Perlembagaan. Pembahagian kuasa ini yang telah sekian lama diadaptasi di dalam sistem demokrasi berparlimen ini mestilah dipatuhi supaya wujud kesepakatan dan toleransi di dalam mengatur urus pentadbiran sesebuah negeri dan negara.  Apa yang jelas, semua negeri termasuk Kelantan bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 memperuntukkan bahawa negeri-negeri akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai di dalam mana-mana negeri berkenaan. Oleh itu, mahasiswa berpendirian tegas bahawa perjanjian yang telah dimeterai antara Petronas dan Kerajaan Kelantan ini mestilah diakui kandungannya dan tidak dicabuli tanpa sebarang justifikasi yang absah lantaran wujud apa yang dilihat sebagai berkepentingan politik.

Mahasiswa menilai bahawa isu royalti Kelantan sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah tanpa perlu melibatkan rujukan kepada proses undang-undang kerana kandungannya amat jelas dan mudah difahami, sebagaimana diperjelas oleh Tengku Razaleigh Hamzah, penggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan individu yang bertanggungjawab memperbadankan Petronas. Apa yang cukup dikesalkan, ada pula pihak luar yang terlebih sudu daripada kuah kerana memandai-mandai mentafsir peruntukan perjanjian tersebut seolah-olah penggubal draf tersebut salah dalam memahami kandungan yang ditandatangani.

Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1974 (PDA), setiap daripada 13 Negeri di Malaysia telah menandatangani Perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5% daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

Kerumitan ini tidak wujud sewaktu Pertonas ditubuhkan pada 1974 dan hanya berbangkit selepas 1999. Contohnya, selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak, meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.

Hanya ketika pembangkang membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun dalam masa yang sama Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu tanpa membayar bayaran seperti sepatutnya dan diamalkan sebelumnya.

Amat menyesali hakikat ini, mahasiswa menggesa pihak Kerajaan mematuhi perjanjian asal yang telah dimeterai secara persetujuan bersama ini kerana permainan tarik tali sebegini pada akhirnya hanya akan merugikan rakyat terbanyak yang bakal mendapat faedah secara langsung. Mahasiswa juga berpendirian bahawa pemberian wang ihsan kepada agen Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada Negeri Kelantan adalah ralat dan menyalahi semangat demokrasi kerana rakyat Kelantan telah membuat pillihan Kerajaan secara sah melalui sistem demokrasi untuk mengurus atur dan mengawal selia segala perkara berkaitan kepentingan mereka. Oleh itu, jika Kerajaan masih berdegil untuk mematuhi perjanjian ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk mengajak dan memobilisasi seluruh anak muda bagi menolak corak pentadbiran sebegini yang jelas tidak bersifat mesra demokrasi dan menyalahi peruntukan perundangan.

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA


Mahasiswa Universiti Putra Malaysia khususnya PMIUPM juga turut menyokong dasar dan hak-hak tuntutun negeri Kelantan bagi isu royalti minyak ini. Kami memandang serius hal ini dari aspek keadilan kepada rakyat dan juga integriti sebuah kerajaan sebagai “Federal Government” yang bertanggung jawab terhadap negeri-negeri di bawah naungannya.

Konsep keadilan dan ketelusan pemerintahan sebuah kerajaan menjadi dasar utama memastikan nasib rakyat terbela dan juga menjamin masa depan negara yang maju. Inilah asas perjuangan mahasiswa yang mana menjadi semak dan imbang kepada pemerintah negara.

Dalam isu tuntutan royalti,mahasiswa memandang bahawa kerajaan sepatutnya menolak ketepi agenda politik parti dan memfokuskan pada isu kebajikan rakyat terlebih dahulu.Jika tidak,amanah sebagai pemerintah negara sudah semestinya diabaikan kerajaan pusat.

Timbul juga beberapa keraguan pada kami yang mana jika benar apa yang dikatakan oleh kerajaan pusat iaitu royalti bukan milik kerajaan negeri Kelantan, tentunya tidak ada kenyataan dari Ku Li iaitu MT UMNO sendiri  yang juga orang penting dalam menggubal dasar Petronas dahulu dan juga Tuan Haji Hassan Ahmad, bekas bendahari Petronas yang terang-terang menyokong tuntutan royalti untuk kerajaan Kelantan.

Selain itu, jika kerajaan pusat juga benar ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dan juga kerajaan negeri,kenapa duit yang dikatakan sebagai ‘wang ehsan’ itu tidak terus diberikan kepada kerajaan negeri tetapi ianya hanya disalurkan kepada JPP(Jabatan Pembangunan Persekutuan).Sudah tentu kerajaan negeri tidak dapat menggunakan dana ini untuk tujuan pembangunan yang dirancang diperingkat negeri.

Oleh itu,sekali lagi kami selaku mahasiswa menegaskan kepada kerajaan, samada pusat atau negeri, bahawa keadilan dalam pemerintahan perlu menjadi satu amanah yang besar dan dijaga dengan betul.Sebagai pemimpin negara,perlu menunjukkan contoh integriti yang tinggi dan baik kepada semua lapisan masyarakat samada pekerja sektor awam dan swasta,mahasiswa sebagai pelapis pimpinan negara serta masyarakat am khususnya.Inilah menjadi kayu ukur sejauh mana mampunya kerajaan pemerintah sekarang mampu mentadbir negara dengan baik.

TUNTUTAN BERSAMA

1. Berikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi
2. Jangan tipu rakyat yang sudah maklum tentang fakta dan isu royalti yang berlaku
3. Besikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik kerana kita rumpun 1Malaysia
4. Mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus sekiranya ia tidak diselesaikan secara berhemat
Justeru kami mewakili mahasiswa dan juga rakyat Kelantan menyatakan secara tegas pendirian kami bahawa isu royalti bukanlah agenda politik kepartian, kerana ia adalah hak yang perlu dituntut. Turut sama dinyatakan dalam sidang media ini beberapa tuntutan penting dari pihak kami agar diberi perhatian sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Pasir Puteh Kelantan

Muhammad Zaki Bin Sukery
Presiden
Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM )
Kota Bharu Kelantan

Abdul Razak bin Omar
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia ( PMIUPM )
Kota Bharu Kelantan

Mohd Khairul bin Abdullah Halim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia ( PMIUTM )
Kota Bharu Kelantan

Wan Baihaqi bin Wan Abd Rahman
Presiden
Persatuan Pelajar Islam Universiti Tenaga Nasianal ( PPI UNITEN )
Tumpat Kelantan
Sokongan bersama:
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
Ikatan Study Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM)
Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim Universiti Kebangsaan Malaysia (PERDANA)
Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PERDANA)
Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)
Makluman media:
  1. Kami akan serahkan memorandum kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Kelantan pada majlis hari raya mahasiswa bersama MB pada hari raya ke-4 nanti.
  2. Gerakan diperingkat anak muda akan dimulakan. Isu ini adalah maslah rakyat, mahasiswa akan bersama-sama rakyat memperjuangkan isu ini.
  3. Penerangan dan penjelasan isu royalti akan diadakan diperingkat kampus dari masa ke semasa.
  4. Pergerakan kami bukan hanya didokong oleh persatuan anak Kelantan, tetapi kebetulan 5 orang presiden persatuan mahasiswa islam di 5 buat universiti utama adalah ANAK JATI KELANTAN. Ahli dalam semua persatuan kami boleh mencecah 5 ribu orang yang mendaftar. Sekiranya kerajaan pusat tidak mengambil serius isu ini, kesannya lebih parah pada pilihanraya yang akan datang.
  5. Perjuangan kami adalah untuk rakyat, dan ini adalah perjuangan patriotik untuk mengambil balik hak rakyat kelantan yang telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.
Continue Reading...

Saturday, August 28, 2010

Kenyataan Rasmi : Pakistan Memanggil, Rakan Masjid Menyahutnya

Selepas solat Jumaat pada 27 Ogos 2010, telah diadakan satu perhimpunan aman bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi mangsa bencana banjir di Pakistan. Perhimpunan aman ini telah diadakan di hadapan masjid An-Nur dan dihadiri hampir seratus orang yang kebanyakannya adalah pelajar-pelajar UTP terutamanya daripada pelajar antarabangsa.

Perhimpunan aman ini merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTP (MPPUTP), Rakan Masjid UTP (RMUTP), International Student Council UTP (ISCUTP), Residential College Support Unit (RCSU), Friends of IRC UTP (FIRCUTP), Sekteriat Rakan Muda UTP (SRMUTP), UTP Media and Technology Club dan United Student For Gaza (US4G) bagi meningkatkan kutipan dana dan bantuan pakaian sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat kita di Pakistan. Perhimpunan itu dimulakan dengan ucapan daripada wakil MPP UTP, saudara Umair bin Zubir.

Kemudian diikuti dengan perkongsian daripada salah seorang warga Pakistan tentang situasi sebenar yang berlaku di Pakistan.



Diikuti oleh ucapan dari wakil RM UTP iaitu saudara Harith Hasyimi bin Hishamudin, Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam RM UTP.


Diakhiri dengan ucapan dan doa dari Ustaz Rahmat bin Abu Seman selaku wakil dari pentadbiran universiti.


Harapan daripada perhimpunan aman ini adalah untuk menyedarkan warga kampus tentang situasi sebenar yang berlaku di Pakistan. Selain itu, perhimpunan ini bertujuan untuk kita sama-sama merasakan kesusahan yang dihadapi oleh sahabat-sahabat kita di sana sekaligus berusaha untuk membantu dengan apa yang termampu. Ucapan jutaan terima kasih kepada semua persatuan pelajar yang terlibat dan masyarakat kampus yang sudah banyak menyumbang dan sehingga kini dana sudah mencecah RM 8000.


PENGUMUMAN:
Tabung kemanusiaan untuk mangsa bencana di Pakistan akan terus diletakkan di masjid dan juga kafetaria-kafetaria. Sesiapa yang ingin menderma boleh ke tempat-tempat yang telah disebutkan.
Continue Reading...

Thursday, August 26, 2010

Kenyataan Rasmi Mengenai Bencana Yang Menimpa Pakistan dan Pelancaran Kutipan Bantuan kepada Mangsa di Pakistan




Assalamualaikum,


Rakan Masjid UTP (RM UTP) merasa terpanggil untuk sama-sama meringankan beban saudara-saudara kita yang berada di Pakistan. Pakistan baru-baru ini telah dilanda satu banjir yang begitu teruk sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta dan kehilangan nyawa dilaporkan.

Banjir yang sedang melanda Pakistan kini adalah yang paling teruk sejak seratus tahun melibatkan kawasan yang begitu luas iaitu hampir keseluruhan utara Pakistan dengan lebih daripada 1600 orang terkorban, 30000 buah rumah telah hanyut dan hampir 20 juta orang telah cedera. Perdana Menteri Pakistan mengatakan banjir itu membuat Pakistan mundur 50 tahun ke belakang. Keadaan banjir ini dijangka akan menjadi lebih teruk kerana tidak berapa lama lagi musim sejuk akan tiba. Terutamanya kehadiran bulan Ramadhan pada kali ini, banyak mangsa tidak mampu untuk menyediakan juadah yang sesuai untuk berbuka mahupun bersahur.

Setakat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru bantuan darurat bernilai 460 juta dolar AS untuk membantu para korban banjir di Pakistan. Pengarah Bantuan Kemanusiaan PBB, John Holmes mengatakan wang itu diperlukan untuk membantu lebih dari 14 juta orang yang terjejas teruk akibat daripada kesan banjir dalam masa yang terdekat. Walaupun banyak pihak sedang membantu, tetapi banyak kawasan yang masih belum mendapat bantuan. Keperluan yang amat diperlukan termasuk khemah, selimut, pakaian, peralatan dapur, makanan, dan ubat.

RM UTP bersama-sama MPPUTP, RCSU dan ISC UTP merasa amat terpanggil untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini. Kami bercadang untuk membantu pada peringkat permulaan ini dengan menyumbangkan pakaian dan menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada mangsa.

Justeru, kami menyeru kepada seluruh warga kampus untuk menghulur bantuan kepada kami bagi membantu saudara-saudara kita di Pakistan. Nama Akaun kami : Pakistan Welfare Fund No. Akaun: 08070001654203, Untuk sumbangan pakaian, bolehlah serahkannya kepada wakil-wakil kami yang akan menemui anda nanti. Kami juga akan meletakkan tabung-tabung di sekitar kampus dan kawasan kafetaria untuk memudahkan saudara/i menghulurkan bantuan disamping saudara/I boleh menderma seperti biasa di tabung yang disediakan di Masjid An-Nur.

Harith Hasyimi bin Hishamudin
Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam.
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
Continue Reading...

Isu Mendoakan Kesejahteraan Kepada Non- Muslim

KENYATAAN RASMI PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR
BERHUBUNG
Isu Mendoakan Kesejahteraan Kepada Non- Muslim


1. Isu berkaitan perbuatan mendoakan orang bukan Islam telah mula timbul sejak laporan akhbar yang telah menyatakan terdapat khatib solat Jumaat yang mendoakan YB Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah Jumaat. Ekoran daripada pendedahan tersebut, pelbagai pihak termasuk ahli politik, agamawan dan masyarakat awam telah memberikan ulasan serta komen terhadap isu tersebut.

2. Secara ringkasnya, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL) berhasrat untuk mengajak seluruh masyarakat untuk meneliti isu yang berbangkit ini daripada perspektif agama khususnya menelurusi pandangan para ulama’ muktabar. Sebenarnya isu ini telah pun dibahaskan dengan terperinci oleh ulama’ silam. Antaranya Imam al- Nawawi, seorang tokoh ilmuwan Islam telah menyatakan dalam karya beliau “Al- Azkar” seperti berikut :
" adalah harus mendoakan kafir zimmi supaya diberikan hidayah petunjuk, kesihatan badan dan seumpamanya". Walaubagaimanapun, Imam Al-Nawawi telah menyatakan orang islam tidak boleh mendoakan keampunan bagi orang bukan Islam.

3. Sebuah hadith telah direkodkan oleh Ibn Sunni, dimana Anas RA telah menyatakan bahawa dengan maksudnya, adalah Nabi SAW telah meminta untuk mendapatkan air lalu seorang Yahudi telah menimbakan air kepada Nabi SAW. Lalu Nabi SAW telah mendoakan kepada Yahudi tersebut “Semoga Allah mencantikkan kamu”, lalu Yahudi tersebut tidak pernah kelihatan uban sehingga dia meninggal dunia.

4.  Selain, telah dikisahkan juga dalam kitab al- Sirah al- Nabawiyyah li Ibn Hisyam di mana Nabi SAW telah berdoa kepada Allah dengan berkata: “Ya Allah, teguhkanlah Islam dengan Islamnya salah seorang daripada dua umar (Abu Jahal atau Umar al-Khattab).

5. Sebuah hadith lain lagi yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi telah menyatakan:
“Seorang Yahudi sengaja bersin di hadapan Nabi serta mengharap Nabi akan berdoa sebagai balasan : Moga Allah merahmati kamu, Walaubagaimanapun, Nabi SAW hanya menyebut  : Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperelokkan pemikiran kamu”

6. Berpandukan kepada huraian hujah tersebut, maka PUMSEL berpandangan adalah diharuskan umat Islam untuk mendoakan keselamatan kesihatan, memohon hidayah petunjuk dan seumpamanya kepada orang bukan Islam.

7. Namun begitu, dalam keadaan umat Islam yang masih belum memahami sepenuhnya ilmu- ilmu fiqh islami, PUMSEL berpendapat umat Islam haruslah memilih platform yang sesuai untuk membaca doa tersebut secara terbuka sebagai langkah mengelakkan salah faham berlaku dikalangan umat Islam.

8. Selain itu, PUMSEL juga berpendapat adalah tidak wajar khatib yang bertugas menyampaikan khutbah Jumaat bertindak meninggalkan doa kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA) selaku ketua negara dan Raja- Raja Melayu sebagai ketua agama di negeri- negeri.

9. Oleh yang demikian, PUMSEL menyeru kepada seluruh alim ulama, persatuan dan NGO dakwah untuk terus mempergiatkan usaha memberikan penerangan kepada masyarakat berdasarkan persepktif hukum dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat Islam.

10. Dalam kes di negeri Pulau Pinang, PUMSEL berpendapat seluruh rakyat mestilah memberikan mandat penuh kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dengan kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan isu tersebut mengikut lunas undang- undang dan prosedur yang ada. Janganlah ada mana- mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan dan meraih kepentingan. Biarlah isu ini diselesaikan dengan cara yang paling harmoni demi memelihara perpaduan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

11. PUMSEL juga ingin menasihati seluruh masyarakat, apabila berhadapan dengan apa jua masalah agama maka rujuklah kepada ahlinya iaitu ahli agama (para ulama’) untuk mendapatkan penjelasan yang berautoriti dan berdisiplin. Dasar ini adalah selaras dengan tuntutan al- Quran dalam surah al- Anbiya’, ayat ke- 7 yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kamu kepada ahluz- zikri jika kamu tidak mengetahui”.
Sheikh Abdullah Basmeih, telah memperincikan maksud “ahluz-zikri” adalah orang- orang yang mengetahui Kitab Allah. Sheikh Abdullah Basmeih juga menambah bahawa ayat ini telah menjadi dalil bahawa orang- orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang- orang yang mengetahuinya, terutamanaya dalam soal- soal ugama.

12.                Apabila sebarang kemusykilan agama timbul, maka penjelasan daripada perspektif Syara’ yang perlu diberikan prioriti untuk menjawab persoalan tersebut. Janganlah dirujuk kepada orang- orang yang bukan ahlinya kerana dibimbangi pandangan yang diberikan tidak menepati paiwaian hukum Islam.
Sekian, terima kasih.

USTAZ MOHD ZAMRI BIN MOHD SHAPIK
Pengerusi
Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor
http://www.pumselangor.org/index.php
Continue Reading...
 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails