KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Selangor, Kelantan, dan Terengganu mengikuti jejak Pahang apabila mara ke perlawanan separuh akhir Piala FA edisi ke-22, setelah mereka menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir pusingan kedua Sabtu malam.
Pahang terlebih dahulu menempah tiket ke separuh akhir Piala FA apabila menang dengan agregat 2-1 mengalahkan Kuala Lumpur, walaupun perlawanan pusingan kedua di Stadium Darul Makmur semalam menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Perlawanan di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus, Johor Bahru menyaksikan pasukan pelawat, Selangor menafikan peluang tuan rumah, Johor ke perlawanan separuh akhir apabila mencatat kemenangan 2-1 untuk mara dengan agregat 5-2.
Kedua-dua jaringan hasil tandukan Mohd Amri Yahaya menerusi sepakan percuma pada minit ke-29 dan 50 menjadi pelengkap kemenangan Selangor yang turun selaku juara lima kali Piala FA untuk ke saingan seterusnya.
Gol saguhati Johor bagaimanapun hadir selang lapan minit kemudian (min-58) menerusi rembatan Norizam Salaman dalam kawasan kotak penalti.
Perlawanan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu pula menyaksikan pasukan Kelantan menewaskan Felda United 3-0, dan keputusan itu memberikan kemenangan mutlak kepada Kelantan dengan 5-2, selepas kedua-dua pasukan itu seri 2-2 dalam pertemuan pusingan pertama pada 15 Mac lepas.
Felda United yang kelihatan mempamerkan corak permainan yang kemas dikejutkan dengan jaringan S.Chanturu menerusi hasil umpanan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.
Di separuh masa kedua Kelantan terus menguasai perlawanan menerusi jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-66, dan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-88.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah berjaya merebut tempat ke peringkat separuh akhir dengan menumpaskan juara sulung Piala FA 1990 Perak 3-1, selepas pasukan itu kalah 2-3 kepada Perak dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh, Perak, Selasa lepas.
Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Ree Shafiq Alwi pada minit ke-29, Manap Mamat (min-51) dan Abdul Hadi Yahya (min-80) sementara gol saguhati Perak dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-76.
-- BERNAMA
Cara Pembelian Emas Public Gold
2 years ago
0 comments:
Post a Comment