Saturday, March 19, 2011

DUN Sarawak dibubar Isnin ini - Taib Mahmud

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, demikian diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Katanya, beliau sudah menyampaikan notis mengenai pembubaran itu kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng baru-baru ini.


"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan
pengundian," katanya pada persidangan akhbar bersama-sama Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di
Lapangan Antarabangsa Kuching di sini.

Pengumuman Taib itu menamatkan teka teki mengenai tarikh pilihan raya negeri. DUN Sarawak sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Taib, yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran negeri ini pada 26 Mac ini, turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau  bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.

Ditanya sama ada penyerahan pentadbiran negeri kepada kepimpinan baru dijangkakan pada pertengahan penggal, beliau berkata, perkara itu mungkin.

"Ia mungkin. Saya harap semua orang akan bersetuju," kata Taib.

Katanya, beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping sudah diminta oleh pucuk pimpinan BN supaya mengetuai jentera pilihan raya negeri.

Ketika mengulas isu yang sama, Najib berkata, Taib memerlukan sedikit masa untuk memastikan siapa penggantinya yang boleh menjamin kestabilan dan kekuatan BN dan kerajaan akan berterusan.

"Saya cakap secara (terus) terang bahawa Taib dan saya dah ada persefahaman bahawa apa yang penting ialah peralihan secara tersusun dan teratur," katanya.

Dalam menentukan tidak berlaku sebarang pengolakan, beliau berkata Taib, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta supaya mengetuai pilhan raya pada kali ini.

"Bila sampai pada masa yang sesuai Taib akan memaklumkan kepada saya," kata Pengerusi BN itu.

Semalam, Taib memberitahu pemberita supaya tunggu sehari lagi untuk beliau membuat pengumuman berkaitan pilihan raya negeri selepas spekulasi mengenai pembubaran dewan undangan negeri semakin memuncak berikutan pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri. 

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak  (SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang pemimpin yang bermula hari ini sehingga September depan, menghadiri pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari ini. - BERNAMA




http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DUNSarawakbubarIsninini_umumTaib/Article

0 comments:

Post a Comment

 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails