Friday, June 10, 2011

TEKS UCAPAN PENUH MENTERI PENGAJIAN TINGGI PADA MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN FASA DUA PELAN STRATEGIK PENGAJIAN TINGGI NEGARA (PSPTN)

BERIKUT adalah teks ucapan penuh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Putrajaya, Selasa 7 Jun 2011. 
Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia.
1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapatlah saya bersama-sama hadir ke Majlis Perasmian Pelan Tindakan Fasa Dua, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) pada pagi yang berbahagia ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan dan seterusnya merasmikan majlis ini.
2. Saya berasa amat gembira kerana Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Fasa Dua ini menandakan dua perkara besar dalam konteks Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Pertama, ia menandakan bahawa kita telah berjaya meletakkan asas yang kukuh bagi PSPTN dalam Fasa Satu pelaksanaannya. Dan keduanya, dengan kejayaan itulah, maka kita semua akan bersama-sama memastikan kelangsungan Fasa Dua pelaksanaan PSPTN di mana sebanyak 23 Projek Agenda Kritikal (CAPs) di bawah Fasa Satu akan diteruskan pelaksanaan dan pemantauan.
SENARIO DAN TREND PENGAJIAN TINGGI MASA KINI
3. Pada hari ini, senario pengajian tinggi global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baharu pengajian tinggi dunia. Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baharu seperti antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksima.
4. Tidak dinafikan, dinamika pengajian tinggi dan arus globalisasi ini akan berterusan khususnya sepanjang tempoh lima tahun Fasa Dua PSPTN. Ini bermakna, Malaysia dan sektor pengajian tinggi perlu memberi pertimbangan wajar terhadap impak dinamika ini kepada hala tuju strategik, sistem serta institusi pengajian tingginya. Dalam konteks senario seperti di atas, usaha dan tindakan yang akan kita ambil misalnya akan mencorakkan pengajian tinggi menjadi lebih bersifat antarabangsa, tidak jumud dan bercirikan hubungan jaringan yang berasaskan kepada kolaborasi dan komplementari bukannya kepada persaingan.
5. Dalam konteks senario dan trend yang telah dilakarkan tadi, pengajian tinggi sememangnya menjadi penggerak minda dan teknologi ke arah mencapai status Malaysia negara maju berpendapatan tinggi. Sehubungan dengan itu, bukanlah satu kebetulan jika sektor pendidikan (dan pengajian tinggi) merupakan salah satu daripada 12 bidang yang dikenalpasti sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, sebagai jentera pertumbuhan dalam Program Transformasi Ekonomi Negara. Tambahan lagi, pendidikan telah pun dijadikan sebagai sebuah komoditi dan produk eksport yang semakin diterima dan menyerlah dalam ekonomi global masa kini.
6. Hasrat Malaysia amat jelas iaitu ingin menjadi negara pembekal pengajian tinggi terbaik di rantau ini juga pada peringkat antarabangsa. Dan sebagai satu komoditi, pihak yang membekalkan pendidikan yang terbaik, mengikut definisi kualiti yang terpakai masa kini, akan memperoleh pencapaian dan keberhasilan yang tinggi juga lumayan. Justeru itu, Kementerian Pengajian Tinggi perlu penuh komited dalam memperkukuhkan kualiti dan memandu transformasi pengajian tinggi. Kita perlu memahami bahawa pada asasnya, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) adalah satu pelan yang ‘all-encompassing’, iaitu merangkumi pelaksanaan yang membabitkan semua aspek pengajian tinggi yang signifikan.
7. Ia perlu dijadikan fokus demi untuk mencapai hasrat murni utama kita – iaitu supaya setiap pelajar yang layak, mendapat akses kepada pengajian tinggi, akan bergraduat menjadi modal insan kelas pertama dan berpendapatan tinggi, yang berkualiti global dan menjadi penggerak kepada sumber manusia yang berinovatif dan kreatif yang diperlukan bagi masa depan Malaysia.
8. Untuk memastikan aspirasi itu dapat dicapai seterusnya, PSPTN akan dikembangkan dengan meletakkan fokus kepada beberapa agenda utama, yang melibatkan proses-proses utama dan pelan-pelan tindakan dalam sektor pengajian tinggi dilaksanakan secara ‘business unusual’ demi untuk melonjakkan sektor pengajian tinggi ke peringkat kecemerlangan. Bagi tujuan ini, pengukuhan usaha melahirkan modal insan, memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi, memanfaatkan globalisasi dan kepemimpinan yang bertransformasi di kalangan peneraju institusi pengajian tinggi adalah antara fokus-fokus baharu yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh Fasa Dua PSPTN.
PENGUKUHAN USAHA MELAHIRKAN MODAL INSAN
9. Pembangunan negara yang kukuh terletak kepada kejayaan kita melahirkan modal insan berkualiti yang memenuhi ciri keperluan abad ke-21. Sehubungan dengan itu, kita perlu mengenal pasti dan menggunakan pendekatan-pendekatan terbaharu untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berketrampilan dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Ini dapat digerakkan melalui pendekatan kolaborasi, kaedah penyampaian yang berinovasi khususnya dalam konteks pembelajaran dan pengajaran, pembelajaran sepanjang hayat dan pengenalan kepada program-program baharu yang relevan dengan perkembangan semasa.
10. Dalam konteks ini, kita ingin memastikan bahawa pelajar yang kita lahirkan, tidak lagi bersifat modal insan yang biasa iaitu hanya untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya mempunyai talent atau bakat untuk membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang kepada penyelesaian cabaran-cabaran semasa dan akan datang.
11. Justeru itu, pembangunan bakat di kalangan pelajar perlu memperlihatkan ciri-ciri yang disimpulkan melalui 5Cs sebagai pengukuhan kepada konsep dan modul kemahiran insaniah yang telah dilancarkan oleh kementerian sebelum ini. Lima ciri itu ialah Critical Thinking and Problem Solving (pemikiran kritikal dan penyelesai masaalah), Effective Communication Skills (keberkesanan berkomunikasi), Collaboration and Team Building (boleh berkolaborasi dan bekerja dalam satu pasukan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan), Creative and Innovative (kreatif dan inovatif) dan Culturally Literate (celik budaya untuk bergerak dalam dunia yang kepelbagaian). Saya percaya, pelajar yang memiliki kelima-lima ciri tersebut menepati keperluan negara untuk bersaing dan berhadapan dengan cabaran-cabaran global.
12. Selain itu, sudah tiba masanya dalam tempoh lima tahun ini, kita menganjak paradigma iaitu daripada semata-mata melahirkan modal insan (human capital) kepada usaha meningkatkan modal intelektual (intelectual capital). Pendek kata, pembangunan modal insan di negara tidak lagi seharusnya bergantung kepada soal menyediakan akses semata-mata, sebaliknya membangunkan pengalaman dan pengetahuan yang berkualiti yang diterima oleh seseorang individu atau pelajar selama berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ini kerana modal intelektual akan berupaya menjamin pembangunan negara yang berkualiti dan mapan.
13. Pengukuhan proses pembelajaran dan pengajaran di IPT mestilah memanfaatkan kemajuan teknologi supaya lebih inovatif, kreatif dan attractive atau memikat hati. Selain itu, ciri-ciri pembelajaran mestilah bercorak student-centered atau pemusatan pelajar, kerana proses pembelajaran ini dapat memberi perhatian kepada aspek-aspek perkembangan dan potensi pelajar secara menyeluruh.
14. Bagi menyokong dan memajukan k-ekonomi yang menjadi teras kepada ekonomi inovasi, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) akan diarusperdanakan kepada masyarakat untuk mendapat pendidikan formal atau tidak formal. Kita percaya, penekanan kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat ini akan membantu rakyat mencapai potensi sebenar diri sekaligus menyumbang kepada proses pembangunan di peringkat komuniti setempat.
MEMPERKAYAKAN KREATIVITI DAN INOVASI
15. Fasa 2 PSPTN juga akan menjangkakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang lebih mantap ke arah peningkatan penerokaan pengetahuan-pengetahuan baharu dan pengkomersilan produk-produk yang dihasilkan. Antara pendekatan yang akan diambil untuk melonjakkan R&D dan Inovasi pada Fasa 2 ini ialah menggalakkan minda perintis (pioneer mindset) di kalangan penyelidik; meletakkan fokus kepada penyelidikan inovatif selaras dengan kehendak negara; menterjemahkan penemuan fundamental ke arah menghasilkan produk atau teknologi platform yang mampu dikomersilkan; dan memperkayakan khazanah ilmu (knowledge repository) negara.
16. Dan yang paling penting ialah semangat ‘kolaborasi dan komplementari’ antara satu sama lain; di kalangan penyelidik dan di kalangan institusi hendaklah diperkukuhkan. Kita akan terus mewarisi masalah apabila sifat ‘working in silos’ tidak dapat dipecahkan. KPT telah memecahkan buyungnya dengan meletakkan syarat ‘kolaborasi’ dalam pemberian geran HiCOE dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS).
17. Kolaborasi yang dimaksudkan disini adalah kolaborasi antara kumpulan penyelidik merentasi sempadan universiti sama ada dari dalam atau luar negara. Juga kolaborasi merentasi sempadan ilmu yang melibatkan bidang sains teknikal bergabung kepakaran dengan sains sosial untuk menyumbang kearah penghasilan ilmu baharu melalui aktiviti penyelidikan bersama.
18. Hari ini kita mempunyai banyak pusat kecemerlangan (COE) di IPT yang masih berfungsi dan bergerak secara sendirian, dengan bilangan penyelidik atau pensyarah yang kecil dan peruntukan dana yang minimum. Saya berharap lebih banyak COE IPT memulakan langkah untuk berkolaborasi dengan Institusi-institusi Penyelidikan (RIs) di luar Kementerian Pengajian Tinggi, dalam mahupun luar negara. Selain itu pihak COE di IPT juga seharusnya melaksanakan langkah-langkah pro-aktif dalam menjalin kerjasama dengan pihak industri di Malaysia terutama di kalangan Industri Kecil dan Sederhana (SMI) dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC), agar produk daripada usaha penyelidikan mereka dapat menembusi pasaran dengan lebih cepat melalui perkongsian pintar yang terjalin.
19. Kesemua lima buah Universiti berinsentifkan Penyelidikan (RU) diminta mempertingkatkan usaha untuk meneraju platform penyelidikan berimpak tinggi. KPT juga sedang berusaha membimbing IPT untuk membangunkan sebuah lagi universiti penyelidikan berasaskan Sains Sosial menjelang tahun 2020 untuk sama-sama membantu dalam pembangunan penyelidikan negara.
20. Pemecahan dana penyelidikan fundamental kepada empat skim bermula tahun ini di bawah RMKe-10, iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS), Skim Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS), dijangka akan turut memeriahkan lagi lanskap R&D dan inovasi negara ke arah peningkatan pengkomersilan produk R&D di dalam Fasa Kedua PSPTN. IPTA dan IPTS telah memula mendapat manfaatnya melalui FRGS dan LRGS apabila bermula tahun ini KPT membuka seluas-luasnya dana penyelidikan berdasarkan merit tanpa mengira status masing-masing. Kita telah mengesan bahawa ada IPTS yang mampu menerima dana penyelidikan yang tinggi seiring dengan rakan-rakan mereka dari IPTA. Ini merupakan satu perkembangan terbaharu yang sihat dari IPTS.
21. Dalam konteks Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi atau HiCOE pula, kita ingin mempunyai lebih banyak HICOE yang diwujudkan di atas dasar persefahaman dan kolaborasi, tidak semestinya dari CoE yang baharu, atau tersendiri; tetapi sebaik mungkin, ia wujud hasil dari kolaborasi antara beberapa COE sedia ada, yang merentasi IPT. Enam HICOE yang sedia ada juga harus memulakan kolaborasi dengan institut penyelidikan ternama dunia. Matlamat utama yang digariskan setelah dinobatkan sebagai HICOE adalah untuk mereka menggembleng tenaga bagi melonjakkan posisi HICOE masing-masing ke peringkat serantau dan antarabangsa dalam Fasa Dua PSPTN.
22. Sementara itu, peranan Malaysia’s Top Business School (TBS) akan digandakan. Pengkorporatan TBS tetapi ‘not-for-profit’ menjadi unsur baharu dalam pengukuhan peranannya. Kekuatan nic baharu TBS di Malaysia yang unik seperti antara lain penekanan kepada pembangunan ‘human governance’ yang berbeza dengan nic Barat hendaklah disegerakan sebelum ia diperkenalkan oleh pihak lain. Dalam masa yang sama, KPT akan menilai beberapa lagi Sekolah-sekolah Perniagaan untuk dinaiktaraf sebagai TBS menjelang tahun 2015.
23. Pada kesempatan ini, saya ingin membawa satu keadaan di masa hadapan yang menunjukkan betapa pentingnya unsur kolaborasi dengan institusi dalam dan luar negara. Dalam pembangunan ekonomi, kita telah melihat bagaimana beberapa negara telah menjalinkan kerjasama dalam integrasi ekonomi serantau dalam kawasan perdagangan bebas seperti kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA), kawasan perdagangan bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Kesatuan Eropah (EU), yang memberi banyak manfaat ekonomi kepada negara-negara ahlinya.
24. Rangkaian perdagangan bebas dalam sektor pengajian tinggi juga telah mulai menjadi tajuk perbincangan antara beberapa Presiden dan Naib-naib Canselor Universiti ternama dunia. Mereka telah berbincang untuk membentuk satu kesatuan yang kukuh ‘network of networks’ (atau rangkaian dalam rangkaian) di antara universiti-universiti ternama mereka bagi memperkayakan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan, perniagaan, mobiliti dan hubungan industri. Sudah wujud kecenderungan di antara beberapa universiti ternama dunia untuk berpakat dengan rakan-rakan yang lain agar mereka menumpukan kolaborasi dan sinergi hanya sesama mereka dan ini tentunya merugikan IPT kita jika kita terlepas pandang kepada perkembangan ini.
25. Sehubungan dengan itu, IPT di Malaysia harus menggiat dan menggandakan usaha untuk mendapat manfaat dalam jaringan masing-masing. Hari ini kita hanya mempunyai hanya MTUN (atau Malaysian Technical University Network). Yang lain-lain masih bergerak secara bersendirian dan menganggap rakan senegara seperti ‘rival’. Oleh itu, MTUN harus segera berkolaborasi dan membina jaringan dengan network yang sedia ada seperti ASEAN University Network (AUN) bagi memperkayakan aktiviti pengajian tinggi seperti program mobiliti selain lain aktiviti tradisional R&D dan sosial.
26. Mereka juga harus melangkah jauh dengan melakukan intergrasi dengan rangkaian luar negara seperti International Network of Universities (INU- yang menggabungkan universiti dari Australia, Indonesia, Jepun, Sweden, Spain, Korea Selatan, Itali dan Amerika Syarikat), Japanese University Network in the Bay Area, di Amerika Syarikat (JUNBA), Australia Japan University Network (AJUN) dan lain-lain lagi. Ini sesuatu yang baru tetapi trend ekonomi ini mulai menular dalam pengajian tinggi dunia dan kita harus bersedia mengorak langkah supaya tidak ketinggalan dalam arus baru globalisasi ini.
MEMAKSIMUMKAN EKOSISTEM PENGAJIAN TINGGI
27. Dalam Fasa Kedua PSPTN, kementerian akan memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi yang baharu lagi komprehensif. Sepertimana yang saya nyatakan dalam Amanat Tahun Baharu sebelum ini, bagi menentukan agar Malaysia berjaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan mempunyai peranan penting dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak aktifkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia. Pendek kata, negara kita yang kecil ini tidak mungkin dapat meminggirkan potensi setiap seorang anak Malaysia dan mengabaikan bakat anak-anak muda kita. Justeru itu, kita perlu memastikan tidak ada seorang pun di kalangan rakyat Malaysia yang LAYAK, tercicir untuk mendapat peluang menyambung pengajian dalam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara.
28. Tidak dinafikan, Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau IPTS mempunyai peranan penting dalam membangunkan potensi rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pengajian tinggi negara. Justeru itu, kolaborasi dan sinergi antara IPTA dan IPTS harus digiatkan. IPTA yang mempunyai ‘abundant talents’, boleh digunakan untuk membantu pembangunan IPTA baharu dan IPTS. ‘Cross-fertilization’ yang telah diamalkan dalam sektor awam boleh dipanjangkan dari IPTA ke IPTS. Penyelidik-penyelidik IPTA boleh membantu pembangunan dalam R&D&C di IPTS. Pengurusan IPTA pula dapat berkongsi amalan-amalan terbaik dari IPTS dari segi pengurusan korporat, penjanaan pendapatan dan lain-lain lagi. Sinergi ini akan membolehkan IPTS turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara maju berteraskan ekonomi inovasi dan pengkomersilan.
29. Adalah tidak memadai jika IPTS sekadar menyumbang kepada pembangunan negara berdasarkan bilangan pelajar antarabangsanya semata-mata. Justeru itu, pendapatan IPTS hendaklah distruktur semula dan dipelbagaikan. Pergantungan kepada yuran pengajian pelajar semata-mata sebagai punca pendapatan mestilah difikirkan semula. Punca pendapatan alternatif mestilah digiatkan melalui aktiviti R&D&C, program-program eksekutif dan perkhidmatan.
30. Proses ’levelling the playing field’ (atau menyamakan taraf) antara IPTA dan IPTS di Malaysia harus dijadikan satu model baharu dunia dalam sektor pengajian tinggi. Keterbukaan pihak kerajaan adalah jelas setelah mengumumkan bahawa IPTS juga akan menerima pelajar-pelajar cemerlang negara dengan tajaan penuh untuk menyambung pengajian di IPTS. Ini merupakan peluang terbaik kepada IPTS untuk sama-sama menjadi pemain yang seimbang bersama IPTA dalam pembangunan negara dan melahirkan modal insan minda kelas pertama.
31. Proses liberalisasi dan globalisasi yang sedang melanda akan turut memberi kesan kepada ekosistem dalam IPTS. Pelabur-pelabur asing mega dalam sektor pengajian tinggi mulai muncul untuk mengambil peluang dan keuntungannya. Rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia mula mendapat perhatian pihak pelabur. Apa yang dibimbangi ialah persediaan kita untuk menghadapi cabaran liberalisasi dan globalisasi yang besar ini. Apakah kita akan terus mampu bersaing menawarkan fasiliti pengajian terbaik kepada pelajar? Bagaimanakah kekuatan modal kita untuk pelaburan masa hadapan?
32. Saya ingin mengesa supaya IPTS dalam negara bersedia menghadapi cabaran ini. Dari sudut ekonomi, seperti yang telah dan sedang berlaku dalam sektor perbankan negara ialah pengambil alihan dan penggabungan (Merger & Acquisition) menjadi model baharu untuk menghadapi globalisasi ini. Jika ini satu model yang baik, bolehkah juga IPTS turut memikirkannya sebagai persediaan menghadapi pelabur-pelabur asing yang sedang muncul seperti Laurette, Manipal, Apollo dan lain-lain lagi.
MEMANFAATKAN GLOBALISASI
33. Era globalisasi yang memperlihatkan persaingan yang hebat tidak seharusnya mencicir dan mengekalkan kita sebagai pengikut semata-mata, tetapi pemimpin atau leader yang menerajui perubahan. Dalam hubungan ini, pengajaran dan penyelidikan bagi tujuan pembinaan indigenous knowledge amat penting dan signifikan. Ini kerana indigenous knowledge atau pengetahuan tempatan ini akan memacu ekonomi berasaskan inovasi yang seterusnya menjadi asas kepada positioning atau pemetaan Malaysia di peringkat global.
34. Faktor tersebut juga boleh membantu Malaysia mencapai hasrat menjadi hab pengajian tinggi antarabangsa menjelang 2020. Keupayaan dan kemampuan Malaysia sebagai pembekal pengajian tinggi yang berkualiti menuntut usaha penambahbaikan dan penanda arasan yang berterusan. Kedudukan Malaysia yang semakin dikenali sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti perlu dipertingkatkan, kerana hasil yang diperolehi bukan terhad kepada pengaliran wang masuk ke negara (contohnya penjanaan pendapatan), tetapi juga hasil berbentuk intangible, seperti perkongsian ilmu dan peningkatan kepakaran.
35. Program-program pengantarabangsaan perlu difokuskan kepada usaha-usaha meletakkan Malaysia sebagai pemain global (global player), di mana keterlibatan negara dalam hal ini tidak terhad hanya kepada program pertukaran pelajar dan staf sahaja, tetapi program-program yang memaksimakan kelebihan Malaysia dalam usaha-usaha kolaborasi dan memberi khidmat konsultasi pada peringkat global. Melalui program pengantarabangsaan juga, sektor pengajian tinggi akan menekankan kepada inisiatif diplomatik dalam usaha untuk berkongsi nilai-nilai Malaysia dengan serata dunia.
36. Dalam hal ini juga, untuk mendapatkan keyakinan negara luar terhadap keupayaan negara kita untuk membekalkan pengajian tinggi yang terbaik di rantau ini dan juga antarabangsa, PSPTN Fasa Dua akan melihat permulaan pendekatan elemen baharu- SOFT POWER atau KUASA TAMBATAN HATI. Pendekatan SOFT POWER ini adalah strategi jangka panjang yang berobjektifkan meraih keyakinan serantau dan global kepada jenama Malaysia dan Malaysia itu sendiri. Keyakinan inilah yang akan membantu Malaysia memenangi hati negara-negara lain, yang secara jangka panjangnya, akan membantu negara mencapai kedudukan global dalam khidmat pembekalan pengajian tinggi dunia.
37. Dalam abad ini, landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia telah mengalami perubahan yang besar, peranan institusi pengajian tinggi perlu berganjak dari mentaliti terkurung menara gading (ivory tower mentality) kepada peranan yang lebih holistik melalui pendekatan keterangkuman (inclusiveness) dan pemanfaatan kepakaran institusi pengajian tinggi demi faedah negara dan masyarakat. Malaysia harus memanfaatkan perubahan ini dengan menggunakan pendekatan tambatan hati atau soft power bagi memikat hati dan pemikiran pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa supaya secara kolektif menerima nilai, ideologi dan budaya pembelajaran yang menguntungkan komuniti.
38. Pendekatan ini menggalakkan pemilihan norma dan nilai yang bersesuaian dengan berpaksikan kepada kearifan dan keperluan setempat tanpa perlu menggunapakai acuan dan tekapan yang dibawa dari luar. Pendekatan tambatan hati ini akan menguntungkan Malaysia kerana ia merupakan kerangka paling lestari sebagai asas dalam penjenamaan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.
39. Tidak banyak di antara institusi pengajian tinggi dunia yang mahu berganjak kepada peranan terkini ini. Disinilah terletaknya peluang Malaysia untuk melonjakkan namanya ke persada antarabangsa menerusi peranan institusi pengajian tinggi yang baru. Strategi tambatan hati berpelantarkan pengajian tinggi ini belum pernah diinstitusikan secara berstruktur dan menyeluruh oleh mana-mana universiti di dunia. Maka ia bukan sahaja suatu usaha yang cuba meneroka lautan biru (blue ocean) malah menjadi suatu peluang yang mampu menjadikan pengajian tinggi Malaysian suatu institusi yang pernah saya sebut dahulu iaitu dirujuk (referred), bersesuaian (relevant), dan dihormati (respected).
KEPEMIMPINAN INSTITUSI YANG BERTRANSFORMASI
40. Untuk menjayakan aspirasi negara, peneraju IPT mestilah menghayati kepimpinan yang bersifat transformational. Kepemimpinan yang sedemikian sifatnya adalah sumber penting kepada transformational stimulation yang seterusnya menjadi penggerak dan ikutan mereka yang dipimpin. Kepemimpinan bentuk ini juga dipercayai punca penting kreativiti di kalangan yang dipimpin.
41. Transformational leadership di kalangan peneraju IPT perlu memperlihatkan ciri-ciri berikut: mempunyai wawasan yang jelas, bertenaga, komited untuk memandu dan memacu institusi ke tahap kecemerlangan dan inovasi yang lebih tinggi, mempunyai pencapaian akademik dan pengurusan yang mantap, pemahaman yang kukuh tentang isu-isu pengajian tinggi pada peringkat dalam negara dan global, cemerlang dalam pengalaman pembangunan sumber dan pemasaran, mempunyai pendekatan kepemimpinan yang terbuka, kemahiran mendengar, komited kepada usaha kolaborasi dan perkongsian, dan banyak lagi. Pokoknya, kesemua kriteria ini dan banyak lagi, sebenarnya, perlu wujud dalam seseorang pemimpin instutusi untuk memastikan kelancaran perjalanan ke arah pencapaian aspirasi PSPTN.
42. Pada masa yang sama, IPT mesti mula mengambil pendekatan agresif untuk mempamerkan diri. Saya dapati kita masih malu-malu untuk mengaku bahawa institusi di bawah kita merupakan institusi terbaik negara. IPT juga tidak begitu berani atau tidak terkehadapan mengambil cabaran untuk mempamerkan diri mereka sebagai universiti yang terhebat dan tersohor dalam negara, serantau dan global dalam sesuatu bidang yang tertentu. Pensyarah dan Profesor juga masih ramai yang hanya dikenali di kalangan rakan kesepakaran sahaja dan tidak dikenali oleh pembuat dasar negara sebagai rujukan dalam bidangnya untuk mendapat khidmat nasihat.
43. Oleh itu, setiap IPT mestilah mulai menyusun program mempamerkan kelebihan masing-masing agar kelebihan itu menjadi kebangaan kepada setiap warga IPT. Pensyarah dan Profesor juga mestilah tampil ke hadapan dengan sumbangan yang lebih besar bukan hanya kepada pengajaran-pembelajaran-penyelidikan dan pengkomersilan tetapi menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing. Kepakaran dan sumbangan mereka haruslah melimpah keluar dari kampus kepada masyarakat dalam bentuk 'spillover effect' dan rakyat dapat menikmati kepakaran mereka mereka sebagai cendiakawan dan ilmuan dalam membangunkan masyarakat. Ini yang kita namakan menyalurkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat melalui CAPs KTP atau Knowledge Transfer Programme.
44. Pensyarah dan profesor harus bersedia menjadi 'hero' dalam bidang masing-masing dan menjadi tersohor kepada universiti, negara dan masyarakat. Kekurangan 'hero' yang ingin mempamerkan diri menyebabkan IPT negara juga belum berani membuat pengakuan bahawa kita mampu mengeluarkan ‘NOBEL LAUREATE’ menjelang 2020. Saya membuka cabaran ini supaya IPT mulai bersaing menyediakan aktiviti yang boleh menghasilkan nobel laureate yang boleh menjadi kebanggaan negara dan dunia. Jika tidak menjelang 2020, kita akan mencapainya selepas melangkau 2020. Dalam hal ini, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan bersama-sama dengan semua IPT untuk melihat semula pelan-pelan yang telah dibangunkan sebelum ini untuk diperkasa dan diperkukuhkan bagi menghasilkan saintis-saintis muda yang berjiwa besar dan berani menyahut cabaran menghasilkan cendiakawan yang boleh diiktiraf sebagai seorang nobel laureate. Kementerian Pengajian Tinggi pula akan memastikan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menampung program ini.
KELESTARIAN INSTITUSI DAN PENGURUSAN BAKAT
45. Pembangunan bakal pemimpin atau pelapis pengurusan universiti hendaklah digembleng dalam Fasa Dua PSPTN. Ini kerana kekurangan pelapis akan merencatkan usaha kita memperkasakan 'local talents'. Dalam hal ini, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKePT) telah mula menjalankan peranan ini tetapi kita belum dapat melihat dengan jelas bakal pemimpin yang dihasilkan untuk menjadi pelapis yang paling kanan bagi sesebuah universiti. Oleh itu, pendekatan kita mestilah diperkukuhkan agar bakat-bakat yang telah bermula sebagai dekan atau ketua jabatan dan program dapat dilahirkan untuk mengambil alih universiti. Program-program baharu seperti penjanaan pendapatan, keberanian mengambil risiko, pengurusan baharu korporat, amalan terbaik IPTA dan IPTS dan sebagainya mestilah diperkenalkan untuk tujuan ini.
KOMITMEN KPT
46. Pelan Tindakan Fasa Dua ini telah digarap hasil daripada perbincangan dan perundingan setiap pasukan projek CAP yang telah dilantik, dengan pihak institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti, bersama-sama dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, seperti pihak industri, untuk memastikan berlakunya pemfokusan bersesuaian dalam semua agenda yang telah ditetapkan. Dari segi pelaksanaan pula, soal kualiti, kreativiti dan inovasi harus menjadi penggerak utama, bersandarkan harapan yang perlu sentiasa tersemat di minda kita iaitu, apa saja aktiviti yang kita laksanakan akan menyumbang kepada hasrat kita menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Untuk itu, keperluan kita untuk bergerak secara sinergisitik adalah sangat mendesak, dan perlu dilaksanakan.
47. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang perlu menjurus ke arah keberhasilan (outcome) dan bukan sekadar (output). Saya gembira melihat komitmen yang telah diberikan oleh pelbagai pihak dalam menangani cabaran pelaksanaan Fasa Satu PSPTN. Hasil daripada komitmen tersebutlah, kita telah melihat penghasilan dan keberhasilan, sepertimana yang terkandung dalam Buku Himpunan Pencapaian Fasa Satu PSPTN, yang akan turut saya lancarkan sebentar lagi, bersama-sama dengan Buku Aktiviti Terpilih Fasa Satu. Perkongsian amalan itu sendiri, yang hari ini dizahirkan melalui Seminar Perkongsian Amalan Terpilih ialah satu amalan baik yang perlu kita teruskan untuk kejayaan kita bersama.
PENUTUP
48. Akhir kata, saya berharap usaha pembelajaran berterusan, dan perkongsian antara agen-agen pelaksana CAP bagi PSPTN merentas IPT dan industri akan berterusan dan dimantapkan untuk kejayaan kita bersama. Kita perlu sama-sama memastikan bahawa tiada jurang pelaksanaan ataupun implementation gap dalam menjayakan pelan pelaksanaan Fasa Dua PSPTN. Untuk tujuan itu, resepi mínimum adalah untuk kita pastikan bahawa pertamanya, terdapat kepemimpinan yang kuat dalam memacu perjalanan setiap CAP PSPTN; kumpulan in termasuk juga Pengerusi setiap CAP, yang hari ini akan diserahkan watikah perlantikan masing-masing, atas amanah yang diberikan untuk membantu negara mencapai hasrat PSPTN.
49. Keduanya, setiap warga pelaksana PSPTN tahu akan pelan keseluruhan, dan apa peranan yang dimainkan oleh setiap warga; ketiganya, kita mempunyai pelaksana yang kompeten, yang mempunyai kemahuan untuk menyumbang atas dasar kepentingan dan manfaat kepada negara; dan akhir sekali, iltizam dan keterbukaan setiap pelaksana untuk menilai, secara berterusan, kesan dan impak daripada tindakan-tindakan yang dilaksanakan, dan seterusnya, membuat penambahbaikan jika perlu ke arah kejayaan PSPTN.
50. Maka dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Pelan Tindakan Fasa Dua, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2011- 2015 serta elemen baharu PSPTN, Buku Himpunan Pencapaian Fasa Satu PSPTN, serta Buku Amalan Terpilih PSPTN Fasa Satu.

0 comments:

Post a Comment

 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails