PULAU PINANG, 9 Feb – Empat penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membuat penemuan baru yang berupaya menjimatkan tenaga dalam proses penyulingan dan penulenan petroleum, sekaligus membantu menjimatkan kos penghasilan bahan bakar itu.
Ketua penyelidik, Dr. Ahmad Ramli Mohd Yahya dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM berkata, inovasi yang dikenali sebagai USM-AR2 itu berpotensi digunakan dengan meluas dalam kalangan negara-negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.
Mengulas fungsi USM-AR2, beliau berkata, produk biosintetik semulajadi tersebut dihasilkan oleh mikrob tempatan yang ditambah kepada petroleum sebelum berlakunya proses penyulingan.
"USM-AR2 akan ditambah dalam minyak mentah bagi membantu proses pengemulsian, mengurangkan ketegangan permukaan dan kelikatan minyak, sekaligus mempercepatkan proses penyulingan," jelasnya.
Katanya, kaedah konvensional sedia ada dalam proses penyulingan minyak mentah kepada minyak boleh guna seperti petrol, diesel, kerosin dan sebagainya mengambil masa yang panjang dan menggunakan tenaga haba yang tinggi.
"Namun dengan adanya USM-AR2, tempoh masa dan penggunaaan tenaga mengalami penjimatan sehingga 50 peratus tanpa menjejaskan kualiti dan kuantiti minyak yang dihasilkan," katanya dalam sidang media memperkenalkan produknya di sini hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu adalah tiga penyelidik bersama termasuk Prof. Madya Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Nur Asshifa Md. Noh dan Salwa Mohd Salleh.
Ahmad Ramli turut berkata, proses penyulingan dengan kaedah konvensional memakan masa sehingga 103 minit dengan suhu di antara 160 hingga 200 darjah celcius.
Namun katanya, dengan tambahan USM-AR2 yang dibangunkan menggunakan geran jangka pendek USM berjumlah RM20,000 itu, hanya 38 minit diperlukan untuk menyiapkan proses penyulingan dengan suhu yang kurang iaitu di antara 110-160 darjah cesius.
Ujar beliau, produk yang telah dipatenkan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa ini boleh memberi kesan terus kepada kos penghasilan produk petroleum yang sekaligus berupaya menentukan kos petroleum tempatan.
“Sekiranya penemuan ini tidak dimanfaatkan oleh syarikat tempatan, maka malang sekali sekiranya ia terlepas ke negara luar,” jelas beliau.
sumber:USM
0 comments:
Post a Comment