Realiti kita lihat pada adat dan kebiasaan masyarakat kita, kita hanya melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan, dan meninggalkannya selepas Ramadhan usai.
Tiada penerusan di dalam kehidupannya pada sebelas bulan yang lain, seakan-akan Ramadhan itu tidak pernah dilaluinya.
Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup bertarawih hingga 20 rakaat, tetapi di luar Ramadhan, solat fardhu pun dilewat-lewatkan. Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup menghabiskan 30 juzu’ Al-Quran sebulan, tetapi sebelas bulan lain hendak menyentuh Al-Quran pun sukar. Kalau di dalam Ramadhan dia sanggup menahan segala perbuatan mungkar dan maksiat, tetapi di dalam sebelas bulan lain seakan tidak pula wujud halal dan haram.
Seakan-akan, Tuhan kita adalah Ramadhan, bukannya Allah SWT.
Seakan-akan, kita menyembah Ramadhan, bukannya Allah SWT.
Sedangkan, Ramadhan tidak sesekali menjadi Tuhan di dalam kehidupan kita.
Melainkan Ramadhan hanyalah alat untuk mencapai ketaqwaan dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang hakiki.
Allah kekal wujud walau di luar Ramadhan
Allah SWT itu hidup dan tidak akan mati. Allah SWT itu tidak mengantuk atau terlalai walau sehari. Allah kekal wujud walau Ramadhan telah berakhir nanti.
Yang kita sembah hanyalah Allah SWT. Kita tidak menyembah Rasulullah SAW walaupun baginda adalah manusia yang termulia di dunia. Kita juga tidak sesekali menyembah Ramadhan walaupun Ramadhan merupakan bulan yang termulia antara bulan-bulan yang ada.
Maka perlulah kita jelas akan niat kita melakukan segala amalan di dalam Ramadhan.
Untuk apakah? Adakah semata-mata untuk mengumpul banyak pahala, kemudian dihabiskan pahala itu dengan dosa-dosa di luar Ramadhan? Maka apakah makna Ramadhan?
Yang memberikan kita pahala atas segala ibadah kita di dalam Ramadhan adalah Allah SWT. Allah SWT yang sama jugalah yang memberikan pahala atas ketaatan kita kepadaNya di bulan-bulan yang lain. Allah SWT jugalah yang menawarkan kita ganjaran itu dan ini di dalam bulan Ramadhan. Allah SWT yang sama jugalah yang menawarkan kita syurga sekiranya kita kekal hidup dalam ketaatan kepadanya di bulan-bulan lain.
Tetapi mengapa kita hanya bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan sahaja?
Adakah Allah tidak wujud pada bulan yang lain?
Ramadhan hanyalah wasilah
Wasilah bermaksud jalan yang menyampaikan. Kalau kita hendak berjaya di dalam pengajian, maka antara wasilahnya adalah studi bersungguh-sungguh.
Wasilah juga boleh dimaksudkan sebagai alat. Hendak membuka skru, maka wasilah kita adalah dengan menggunakan screw driver.
Wasilah juga boleh dimaksudkan sebagai metod. Hendak mendidik anak cepat membaca, maka wasilahnya adalah dengan membiasakannya dengan kad-kad huruf semenjak kecil.
Ramadhan hanyalah wasilah. Bagi memudahkan kita, hamba Allah SWT ini mencapai ketaqwaan, dan menjadi hambaNya yang terbaik. Wujudnya bulan Ramadhan yang penuh di dalamnya dengan ganjaran, dikurangkan pula aura kejahatan di dalamnya, semua itu untuk membuka jalan bagi kita melatih diri menjadi hamba Allah SWT yang terbaik.
Bagi yang memerhati, maka dia akan melihat akan hakikat perkara ini.
Penutup: Sepatutnya kita gunakan Ramadhan sebagai medan peningkatan
Maka sepatutnya kita kembali membersihkan matlamat dan niat, serta menjelaskan kefahaman mengapa kita beribadah di dalam bulan Ramadhan. Mengapa kita berusaha menjalaninya dengan baik. Mengapa kita berusaha mengejar ganjaran-ganjaran yang ada.
Hakikatnya adalah untuk menjadikan diri kita kuat. Kuat untuk melalui 11 bulan yang lain. Hal ini kerana, tuhan kita, Allah, wujud juga pada 11 bulan yang lain. Allah bukannya wujud di dalam Ramadhan sahaja.
Maka jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka kita akan menggunakan peluang Ramadhan ini sebaik-baiknya.
Sepatutnya, demikian.
Maka apakah kita melaksanakan yang sepatutnya?
Atau kita telah terlupa bahawa Allah adalah Tuhan?
dipetik daripada http://ms.langitilahi.com/edisi-ramadhan-7-ramadhan-itu-bukan-tuhan/#more-2882
Cara Pembelian Emas Public Gold
2 years ago
1 comments:
whats wrong with u dude..ibadat lebih bulan puasa pun jadi isu ka.
Post a Comment