Assalamualaikum,
Rakan Masjid UTP (RM UTP) merasa terpanggil untuk sama-sama meringankan beban saudara-saudara kita yang berada di Pakistan. Pakistan baru-baru ini telah dilanda satu banjir yang begitu teruk sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta dan kehilangan nyawa dilaporkan.
Banjir yang sedang melanda Pakistan kini adalah yang paling teruk sejak seratus tahun melibatkan kawasan yang begitu luas iaitu hampir keseluruhan utara Pakistan dengan lebih daripada 1600 orang terkorban, 30000 buah rumah telah hanyut dan hampir 20 juta orang telah cedera. Perdana Menteri Pakistan mengatakan banjir itu membuat Pakistan mundur 50 tahun ke belakang. Keadaan banjir ini dijangka akan menjadi lebih teruk kerana tidak berapa lama lagi musim sejuk akan tiba. Terutamanya kehadiran bulan Ramadhan pada kali ini, banyak mangsa tidak mampu untuk menyediakan juadah yang sesuai untuk berbuka mahupun bersahur.
Setakat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru bantuan darurat bernilai 460 juta dolar AS untuk membantu para korban banjir di Pakistan. Pengarah Bantuan Kemanusiaan PBB, John Holmes mengatakan wang itu diperlukan untuk membantu lebih dari 14 juta orang yang terjejas teruk akibat daripada kesan banjir dalam masa yang terdekat. Walaupun banyak pihak sedang membantu, tetapi banyak kawasan yang masih belum mendapat bantuan. Keperluan yang amat diperlukan termasuk khemah, selimut, pakaian, peralatan dapur, makanan, dan ubat.
RM UTP bersama-sama MPPUTP, RCSU dan ISC UTP merasa amat terpanggil untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini. Kami bercadang untuk membantu pada peringkat permulaan ini dengan menyumbangkan pakaian dan menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada mangsa.
Justeru, kami menyeru kepada seluruh warga kampus untuk menghulur bantuan kepada kami bagi membantu saudara-saudara kita di Pakistan. Nama Akaun kami : Pakistan Welfare Fund No. Akaun: 08070001654203, Untuk sumbangan pakaian, bolehlah serahkannya kepada wakil-wakil kami yang akan menemui anda nanti. Kami juga akan meletakkan tabung-tabung di sekitar kampus dan kawasan kafetaria untuk memudahkan saudara/i menghulurkan bantuan disamping saudara/I boleh menderma seperti biasa di tabung yang disediakan di Masjid An-Nur.
Harith Hasyimi bin Hishamudin
Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam.
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
0 comments:
Post a Comment