Thursday, August 26, 2010

Isu Mendoakan Kesejahteraan Kepada Non- Muslim

KENYATAAN RASMI PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR
BERHUBUNG
Isu Mendoakan Kesejahteraan Kepada Non- Muslim


1. Isu berkaitan perbuatan mendoakan orang bukan Islam telah mula timbul sejak laporan akhbar yang telah menyatakan terdapat khatib solat Jumaat yang mendoakan YB Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah Jumaat. Ekoran daripada pendedahan tersebut, pelbagai pihak termasuk ahli politik, agamawan dan masyarakat awam telah memberikan ulasan serta komen terhadap isu tersebut.

2. Secara ringkasnya, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL) berhasrat untuk mengajak seluruh masyarakat untuk meneliti isu yang berbangkit ini daripada perspektif agama khususnya menelurusi pandangan para ulama’ muktabar. Sebenarnya isu ini telah pun dibahaskan dengan terperinci oleh ulama’ silam. Antaranya Imam al- Nawawi, seorang tokoh ilmuwan Islam telah menyatakan dalam karya beliau “Al- Azkar” seperti berikut :
" adalah harus mendoakan kafir zimmi supaya diberikan hidayah petunjuk, kesihatan badan dan seumpamanya". Walaubagaimanapun, Imam Al-Nawawi telah menyatakan orang islam tidak boleh mendoakan keampunan bagi orang bukan Islam.

3. Sebuah hadith telah direkodkan oleh Ibn Sunni, dimana Anas RA telah menyatakan bahawa dengan maksudnya, adalah Nabi SAW telah meminta untuk mendapatkan air lalu seorang Yahudi telah menimbakan air kepada Nabi SAW. Lalu Nabi SAW telah mendoakan kepada Yahudi tersebut “Semoga Allah mencantikkan kamu”, lalu Yahudi tersebut tidak pernah kelihatan uban sehingga dia meninggal dunia.

4.  Selain, telah dikisahkan juga dalam kitab al- Sirah al- Nabawiyyah li Ibn Hisyam di mana Nabi SAW telah berdoa kepada Allah dengan berkata: “Ya Allah, teguhkanlah Islam dengan Islamnya salah seorang daripada dua umar (Abu Jahal atau Umar al-Khattab).

5. Sebuah hadith lain lagi yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi telah menyatakan:
“Seorang Yahudi sengaja bersin di hadapan Nabi serta mengharap Nabi akan berdoa sebagai balasan : Moga Allah merahmati kamu, Walaubagaimanapun, Nabi SAW hanya menyebut  : Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperelokkan pemikiran kamu”

6. Berpandukan kepada huraian hujah tersebut, maka PUMSEL berpandangan adalah diharuskan umat Islam untuk mendoakan keselamatan kesihatan, memohon hidayah petunjuk dan seumpamanya kepada orang bukan Islam.

7. Namun begitu, dalam keadaan umat Islam yang masih belum memahami sepenuhnya ilmu- ilmu fiqh islami, PUMSEL berpendapat umat Islam haruslah memilih platform yang sesuai untuk membaca doa tersebut secara terbuka sebagai langkah mengelakkan salah faham berlaku dikalangan umat Islam.

8. Selain itu, PUMSEL juga berpendapat adalah tidak wajar khatib yang bertugas menyampaikan khutbah Jumaat bertindak meninggalkan doa kepada Yang Di Pertuan Agong (YDPA) selaku ketua negara dan Raja- Raja Melayu sebagai ketua agama di negeri- negeri.

9. Oleh yang demikian, PUMSEL menyeru kepada seluruh alim ulama, persatuan dan NGO dakwah untuk terus mempergiatkan usaha memberikan penerangan kepada masyarakat berdasarkan persepktif hukum dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat Islam.

10. Dalam kes di negeri Pulau Pinang, PUMSEL berpendapat seluruh rakyat mestilah memberikan mandat penuh kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dengan kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan isu tersebut mengikut lunas undang- undang dan prosedur yang ada. Janganlah ada mana- mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan dan meraih kepentingan. Biarlah isu ini diselesaikan dengan cara yang paling harmoni demi memelihara perpaduan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

11. PUMSEL juga ingin menasihati seluruh masyarakat, apabila berhadapan dengan apa jua masalah agama maka rujuklah kepada ahlinya iaitu ahli agama (para ulama’) untuk mendapatkan penjelasan yang berautoriti dan berdisiplin. Dasar ini adalah selaras dengan tuntutan al- Quran dalam surah al- Anbiya’, ayat ke- 7 yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kamu kepada ahluz- zikri jika kamu tidak mengetahui”.
Sheikh Abdullah Basmeih, telah memperincikan maksud “ahluz-zikri” adalah orang- orang yang mengetahui Kitab Allah. Sheikh Abdullah Basmeih juga menambah bahawa ayat ini telah menjadi dalil bahawa orang- orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang- orang yang mengetahuinya, terutamanaya dalam soal- soal ugama.

12.                Apabila sebarang kemusykilan agama timbul, maka penjelasan daripada perspektif Syara’ yang perlu diberikan prioriti untuk menjawab persoalan tersebut. Janganlah dirujuk kepada orang- orang yang bukan ahlinya kerana dibimbangi pandangan yang diberikan tidak menepati paiwaian hukum Islam.
Sekian, terima kasih.

USTAZ MOHD ZAMRI BIN MOHD SHAPIK
Pengerusi
Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor
http://www.pumselangor.org/index.php

0 comments:

Post a Comment

 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails