Saturday, October 2, 2010

7 calon, 7 manifesto

3 Okt - Majlis Ucapan Umum para calon Pilihan Raya Kampus UTP 2010 pada malam tadi selamat berlangsung dengan penuh kesederhanaan. Walaupun tidak semeriah PRK 2008, namun respon hadirin terhadap majlis tadi adalah memuaskan dan mereka berasa gembira kerana dapat mendengar ucapan sulung calon-calon yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan MPPUTP.

Ucapan  terlebih dahulu dimulakan dengan calon-calon yang telah menang tanpa bertanding pada PRK kali ini. Seramai 9 orang calon yang kesemuanya menang di Kerusi Program masing-masing, berjaya menyampaikan visi dan visi mereka setalah terpilih untuk berada dalam kabinet MPPUTP 2010/2011. Mereka diberikan masa selama 3 minit oleh Pengerusi Majlis, Sdr Mohd Aizuddin Halim bagi menyampaikan ucapan.

Seterusnya, setelah selesai ucapan wakil-wakil Program, calon-calon yang bertanding bagi Kerusi Umum pula diminta untuk menyampaikan manifesto mereka. Ucapan dimulakan dengan Calon #1, Sdr Aidil Aznan Azwan Bin Abdul Azid.

Aidil dan 'konvo-konvonya'

Berpakaian tradisi baju Melayu merah lengkap bersamping, Aidil dilihat bergaya menyampaikan manifestonya. Segak dengan songkok hitam yang melambangkan semangat kepahlawanan Melayunya, Aidil tampil untuk perjuangkan perpaduan dalam kalangan warga kampus.

"One UTP, One Dream" , itulah tajuk menifestonya. Hal ini adalah manifestasi kekecewaan beliau melihat realiti perpaduan antara kaum, agama dan negara di dalam kampus ini yang masih kurang. Mengambil contoh apa yang berlaku dalam Titian Budi, Aidil yang juga bekas Bendahari program tersebut tampil memberikan cadangan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Beliau yang mendapat tepukan gemuruh daripada jawatankuasa Pesta Konvokensyen beramai-ramai hadir pada malam ini, nyata tersenyum setelah usai memberikan ucapan. Sokongan kuat daripada komiti konvo adalah disebabkan beliau ialah Bendahari Convofair 2010, pesta yang akan berlangsung tidak lama lagi. Maka, Aidil sudah tentu akan mendapat undi yang banyak dari 'konvo-konvonya'. (konco-konconya)

Calon #2, berpengalaman luas

Muhammad Fitri Jamil merupakan seorang siswa Tahun Dua, jurusan Kejuruteraan Kimia. Mempunyai pengalaman luas dalam MPP sebagai Rakan exco sudah tentu memberikan sedikit kelebihan berbanding calon lain. Jejaka tinggi lampai ini tampil dengan manifesto "Enhancing the Quality", memberikan beberapa idea beliau bagi mempertingkatlkan kualiti MPP khususnya dan pelajar UTP amnya.

Pernah terlibat sebagai jawatankuasa kerja dalam pelbagai program di dalam pelbagai persatuan menjadikan beliau dikenali ramai. Di dalam Titian Budi, memegang jawatan sebagai Bendahari Bahagian Sponsor. Dan malam ini ternyata sokongan padu diberikan oleh rakan-rakan beliau.

Cili Padi

'Kecil-kecil Cili Padi', mengkin itulah pepatah yang sesuai untuk menggambarkan calon ketiga ini. Nadia Hartini Suhaimi, walaupun baru di Tahun Pertama, namun lenggok ucapannya memukau hadirin yang hadir. Diselang-seli dengan  lawak selamba, Nadia Hartini banyak menggunakan hujah-hujah daripada tokoh-tokoh ilmuan Barat.

Selain dapat menonjolkan keilmuannya dengan hujah-hujah begitu, beliau juga menunjukkan sifat perjuangan mahasiswa dalam diri beliau apabila turut membangkitkan semangat hadirin untuk menuntut hak mereka. Mengambil contoh Revolusi Chile yang dipimpin mahasiswa, Nadia nyata bersungguh-sungguh dalam merealisasikan manifestonya, "Voice is Our Right".

Keupayaan beliau dalam menjawab persoalan yang diajukan juga mengkagumkan. Jawapan yang selamba tetapi ringkas dan padat semasa menjawab persoalan tentang penambahbaikan MPP,nyata mengkagetkan hadirin.

Membina Legasi

Calon #4 yang masih lagi berada dalam fasa Latihan Industri (intership) di Za'ba bukanlah calang-calang calon. Nama penuh Siti Sara Lyana Badly Sham ataupun lebih dikenali dengan panggilan Sara ini merupakan bekas rakan exco dan exco bagi kepmipinan MPP yang lepas.

Kepetahan beliau dalam memberikan ucapan tidak ubah seperti ahli politik muda yang sedang berpidato. Pengalaman yang teramat banyak dalam MPP sebelum ini sangat-sangat memberikan kelebihan kepadanya. Dengan visi membina legasi dalam MPPUTP, Sara gah membawa manifestonya "Shaping a Legacy".

Bercita-cita untuk membawa MPPUTP ke peringkat nasional setaraf dengan perwakilan pelajar di IPTA-IPTA Lembah Klang, menjadikan dia nekad menjadikan perkara itu suatu realiti. Melihat kepada pengalamannya, bukanlah satu mustahil baginya untuk melakukan perkara itu.

Willing to Serve

Kebajikan merupakan agenda utama bagi setiap calon yang bertanding. Dan bagi Khairulanam calon #5 ini, beliau menampilkan manifesto "Willing to Serve" untuk menjadikan agenda kebajikan adalah keutamaan beliau. Sesuatu yang nampak mudah dan kecil, namun cukup-cukup bermanfaat bagi sekalian warga kampus jika dapat dilaksanakan.

Berjanji untuk memperjuang tempat parking kereta berbumbung, pasti akan menarik perhatian banyak pihak. Seperti yang sedia maklum, masalah parking adalah antara masalah utama dalam kalangan pelajar. Selain daripada kurangnya lot parking, tempat parking di kawasan lapang yang panas sudah tentu merimaskan ramai pemilik-pemilik kenderaan di UTP.

Sudah pasti perkara ini akan menjadi tarikan utama kepada calon ini yang akan menyebabkan beliau mendapat undi yang tinggi dari pelajar-pelajar yang mempunyai kenderaan.

Dari RCSU ke MPP

Hamzah Nawawi merupakan mantan Presiden RCSU sesi 2009/2010 dan kini sedang berpraktikal. Mempunyai pengalaman sebagai Presiden sebuah persatuan yang berprestij di UTP menjadikan Sdr Hamzah berada di tangga yang berlainan dengan calon-calon lain. Calon #6 ini juga mempunyai kelebihan dari segi sokongan, kerana ramai dalam kalangan ahli RCSU menyokong penuh hasrat beliau untuk betanding.

Penampilannya yang sentiasa kemas dan mesra  amat sesuai dengan gaya seorang presiden. Membawa misi "Rebranding MPP", Hamzah menjanjikan MPP yang 'mesra rakyat' jika terpilih untuk berada dalam Majlis Tertinggi (MT) MPP sesi 2010/2011 nanti.

Beliau juga menjanjikan integrasi kaum yang lebih mantap bagi pelajar-pelajar. Mengambil inspirasi kejayaan beliau mengintegrasikan kaum dan negara semasa dalam RCSU, Hamzah begitu optimis untuk melakukan perkara yang sama di dalam MPP nanti.


Wakil Antarabangsa

Pertama kali dalam sejarah menyaksikan PRK mempunyai calon dari kalangan pelajar antarabangsa. Rofans Beleam Hilisebua Manao yang merupakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Indonesia (PPI) Malaysia, merupakan yang pertama berbuat demikian.

Kebiasaannya, pelajar antarabangsa akan menduduki kerusi MT MPP melalui International Student Council (ISC) kerana terdapat peruntukan khas bagi pelajar antarabangsa untuk kerusi itu. Dan mereka akan melalui proses pilhanraya sendiri dalam kalangan pelajar-pelajar antarabangsa.

Namun, apa yang dibuat Rofans yang juga calon #7 adalah suatu langkah yang bijak. Hal ini kerana, Rofans tidak perlu merebut kerusi dalam ISC. Jika bertanding dalam ISC, hanya Presiden ISC yang akan menjadi MT dalam MPP. Dan jika bertanding terus dalam MPP, peluang untuk menang adalah cerah. 7 orang calon merebut 5 kerusi adalah sesuatu yang dianggap mudah bagi yang berkaliber seperti beliau.

Membawa manifesto "Realizing the Golden Generation", Rofans berjanji untuk meningkatkan semangat dalam kalangan pelajar. Mempuyai kapasiti sebagai bekas Timbalan Presiden PPI, sudah pasti Rofans akan menarik ramai penuntut-penuntut Indonesia untuk mengundi beliau. Dan ini secara tidak langsung bakal menambahkan peratusan yang keluar mengundi nanti.

Adalah diharapkan calon-calon dapat menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada untuk berkempen. Suburkan demokrasi yang masih ada di bumi UTP ini. Selamat Berjaya.

-UTPdaily-
Continue Reading...

Malam Ucapan Umum, Langkah kempen pertama bagi calon-calon PRK

UTPdaily

2 Oktober - Hari ini tentunya menjadi hari yang dinanti sekalian warga kampus Universiti Teknologi PETRONAS amnya, dan sudah tentu hari yang mendebarkan bagi calon-calon yang masuk bertanding Pilihan Raya Kampus UTP 2010. Hal ini kerana, malam ini merupakan malam Ucapan Umum bagi mereka yang bertanding bagi Kerusi Umum PRK kali ini.

Inil merupakan kali pertama calon-calon akan berhadapan dengan pengundi-pengundi mereka yang terdiri daripada siswa-siswi UTP sekali gus memulakan kempen PRK kali ini secara rasmi. Seramai 7 calon bertanding akan mengemukakan menifesto masing-masing untuk dibentangkan kepada para hadirin pada malam ini.

Malam ini bakal menyaksikan Dewan Canselor digegarkan dengan kelantangan ucapan penuh semangat mereka yang bertanding. Selain itu, sorakan penyokong masing-masing sudah tentu bakal menggamatkan lagi suasana. Gelagat-gelagat 'fan club' dengan pelbagai aksi bagi menunjukkan sokongan padu terhadap calon mereka itu pastinya akan mencuri tumpuan segenap hadirin pada malam ini.

Jadi, petang sudah tentu menjadikan calon-calon dan penyokong-penyokong tidak duduk diam untuk membuat persiapan bagi malam yang penting ini. Ucapan pada malam ini amat penting bagi calon-calon yang beratanding supaya para hadirin yakin yang merekalah sepatutnya diundi dalam PRK, seterusnya mewakili seluruh siswa-siswi UTP dalam Majlis Perwakilan Pelajar.

Bagi warga kampus pula, apa yang diharapkan ialah calon-calon yang bertanding dapat memberikan tawaran yang terbaik untuk mereka pada PRK kali ini. Masih terdapat banyak isu-isu kebajikan yang boleh diketengahkan oleh para calon dalam manifesto mereka supaya dapat menarik perhatian pengundi. Jadi, langkah pertama dalam sesi kempen ini cukup penting.

Kepada semua calon, krew UTPdaily mengucapkan selamat berjaya kepada anda semua pada malam ini. Dan kepada seluruh warga kampus, jom penuhi Dewan Canselor bagi mendengar ucapan-ucapan mereka yang bakal mewakili suara pelajar-pelajar dalam MPP nanti. Sama-sama kita suburkan demokrasi di bumi UTP ini.

-UTPdaily- 
Continue Reading...

Public Speaking of SRCUTP candicates tonight!!

Continue Reading...

Friday, October 1, 2010

Senarai Calon PRK 2010

PRK kali ini bakal menyaksikan pertandingan 7 penjuru bagi merebut 5 kerusi Majlis tertinggi MPPUTP. Bilangan calon bertanding meningkat 1 calon berbanding PRK 2009, tetapi jauh lebih sedikit berbanding PRK 2008 yang menyaksikan pertandingan 11 penjuru bagi Kerusi Umum.

Berikut adalah senarai* calon Kerusi Umum (General Contituency) bagi Pilihan Raya Kampus 2010.

1. Hamzah Bin Nawawi
2. Siti Sara Lyana Badli Sham
3. Aidil Aznan Azwan Abdul Azid
4. Rofans Beleam Hilisebua Manao
5. Muhamaad Fitri Jamil
6. Nadia Hartini Suhaimi
7. Mohamad Khairulanam Azeman


Bagi Kerusi Program pula, tiada pertandingan akan berlaku. Semua calon bagi kerusi program menang tanpa bertanding.

*senarai nama di atas tidak mengikut nombor undian calon
Continue Reading...

Details of Campus Election


COME AND JOIN CAMPUS ELECTION
VOTE YOUR CANDIDATE

from : http://www.srcutp.com/
Continue Reading...

Pra-Pilihan Raya MPPUTP 2010/2011: Politik Kampus

By al-Muhandisu
 Pra Pilihan Raya MPPUTP 2010/2011: Politik Kampus
Assalamualaikum wbt.
Pilihan raya kampus bagi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (MPPUTP) 2010/2011 kini kembali lagi. Sebagai pelajar tahun 3 yang sedang berpraktikal pada semester ini, saya sempat melalui 2 pilihan raya sahaja iaitu pada sesi 2008/2009 dan 2009/2010. Manakala pada sesi 2007/2008, tiada pilihan raya dan semua calon menang tanpa bertanding. Walaupun jauh dari kampus, ia bukan alasan untuk kita selaku mahasiswa untuk tidak mengambil cakna tentang perkembangan politik kampus. Seandainya malas berdepan dengan pilihan raya kampus, apatah lagi nak berbincang tentang perubahan negara?
Mahasiswa Lesu
Pada 29 September 2010, Proses Penamaan Calon bagi Kerusi Umum (General Constituency) dan Kerusi Program (Programme Constituency) telah berlangsung menandakan bermulanya episod baru kepimpinan mahasiswa UTP. 7 orang calon bakal berpencak di pentas siasah ini untuk merebut 5 kerusi Majlis Tertinggi MPPUTP dan nampak gayanya kali ini, tiada pertandingan buat kerusi program kerana tidak cukup calon untuk bertanding. Bilangan calon hanya bertambah seorang sahaja daripada calon sesi 2009/2010. Angka tersebut sudah cukup jelas menggambarkan tahap kesedaran politik mahasiswa UTP. Tidak perlu untuk diulas panjang lebar. Itu belum dikira statistik pelajar turun mengundi yang tidak pernah mencecah 50% peratus setiap tahun malah hanya di sekitar 20 hingga 30% sahaja.
PRK tahun lepas menyaksikan beberapa kontroversi berlaku. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan ramai mahasiswa UTP mula bersuara dan kampus UTP seolah-olah ‘bergegar’ dengan ‘kebangkitan’ ini yang dicanangkan sebagai ‘Revolusi Oktober’. Akhirnya benar tekaan ramai pihak bahawa suara-suara ini akan kembali lesu tak bermaya.  Slogan perubahan saban hari dilaungkan, akhirnya, kata tinggal kata. Sudah muktamad hanya 7 orang sahaja bertanding untuk 5 kerusi. Mudah, pengundi hanya perlu menyingkirkan 2 orang. Perubahan apa yang diinginkan? itu yang masih belum jelas. Rujuk Blog Saudara Hasmadi Hasbi untuk ulasan keputusan PRK lepas supaya lebih jelas dengan situasi yang berlaku.
Tujuan PRK
Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan MPP. MPP berfungsi sebagai mata, telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian disini. Ini bermakna pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus. Memimpin para pelajar untuk membina budaya tinggi yang berkait rapat dengan budaya ilmu dan segala ciri-ciri yang perlu ada dalam pembinaan sebuah tamadun unggul.
Bagi saya, karisma merupakan elemen yang paling penting  bagi seorang pemimpin pelajar. Konotasi ini cukup luas merangkumi cara bekerja, adab, personaliti, ekspresi idea, akhlak dan kemahiran komunikasi serta interaksi sosial yang mapan. Tambahan pula, UTP telah mensasarkan untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh (well-rounded).
Menurut Tony Alessandra di dalam bukunya ‘Charisma: 7 Keys To Developing The Magnetism That Leads To Success’, salah satu ciri utama karismatik ialah potensi menyampaikan visi dan idea secara berkesan. Memetik kata beliau
harismatic people possess a similar,almost childlike faith in their vision and their ability to create change. People will follow leaders whose vision inspires them and makes their lives more meaningful”.
Justeru, bagi menghasilkan mahasiswa yang well-rounded, pilihanraya kampus merupakan medan yang paling sesuai untuk mencapai tujuan tersebut. Pemimpin-pemimpin muda ini diharapkan benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk menerajui kepimpinan negara kelak. Bak kata bijak pandai, proses kepimpinan ibarat menghasilkan air suling dimana air tersebut perlu melalui pelbagai peringkat proses penapisan dan sulingan sebelum menjadi air tulen. Akhir kalam, sekalung tahniah dan penghargaan buat pimpinan MPPUTP yang telah berundur dan selamat bermanifesto serta mengundi buat semua warga UTP.
Continue Reading...

Pilihanraya Kampus

By Belia Prihatin

Pilihanraya kampus kembali lagi di bumi UTP. penamaan calon baru sahaja berlalu 2 hari yang lalu. Namun kehangatan PRK itu sendiri masih belum kelihatan. Apa yang pasti, kebanyakan rakan-rakan mahasiswa UTP tidak ambil tahu berkenaan PRK yang bakal berlangsung pada minggu hadapan. 


Ini merupakan isu yang tidak boleh diambil ringan. PRK adalah medan untuk para pelajar mengenal calon yang bakal mencorak suasana politik dan kepimpinan di kampus. Langkah mengecualikan diri dari mengambil tahu isu besar sebegini merupakan satu kegagalan dalam proses pendidikan dalam usaha menghasilkan insan yang berfikiran luas, tebuka, kritikal dan matang. Peranan mahasiswa itu perlu untuk menghangatkan suasana PRK itu bagi memastikan calon yang bakal naik di tampuk pimpinan MPPTP selepas ini benar-benar merupakan figur yang mampu menjadi suara memperjuangkan hak mahasiswa.

Beberapa hari yang lalu, UTP telah menjadi tuan rumah untuk rancangan suara siswa bersama Dr Fazley yang antara lain membincangkan isu berkenaan kematangan mahasiswa. Mahasiswa yang matang itu tidak semestinya kencang dalam berpolitik waima di kampus ataupun di luar. Tetapi kecaknaan terhadap politik merupakan satu juzuk yang perlu untuk menjadi indikator bagi menilai kematangan seorang mahasiswa.

Barangkali ada berpendapat politik kampus tidak penting dan tidak memberi kesan pada masyarakat sekitar. Sedangkan fakta yang tidak dapat disangkal ialah, menteri-menteri yang ada sekarang kebanyakannya ialah golongan pemimpin yang menguasai politik kampus semasa sesi pengajian mereka. Ada berada di pihak kerajaan dan ada berada di pihak pembankang.

Mulakan budaya bersih dalam berpolitik boleh bermula dari kampus. Tetapi untuk memulakan pembersihan politik kotor yang diceritakan di peringkat nasional memerlukan penglibatan awal golongan mahasiswa dalam politik kampus(PRK).

Pada rakan-rakan mahasiswa UTP, apa salahnya kalau kita sama-sama berada dalam suasana PRK selama seminggu ini bagi menilai calon yang paling layak untuk memimpin MPP selepas ini.

from: http://beliaprihatin.blogspot.com/2010/10/pilihanraya-kampus.html
Continue Reading...
 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails