Monday, January 31, 2011

Sudut Pandang Rakan Masjid berkenaan Krisis di Mesir

Pendahuluan

Pergolakan yang berlaku di Mesir kini boleh kita katakan sudah sampai ke tahap yang kritikal apabila kerajaan sudah mengambil tindakan mengumumkan perintah berkurung berkuatkuasa di seluruh Mesir. Pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun nampaknya sudah sampai ke tahap kemuncak yang mungkin menentukan samada beliau akan kekal di kerusi Presiden Mesir atau tidak. Kita melihat apa yang berlaku ini sebagai satu petanda baru kebangkitan para pemuda di Mesir yang menuntut perubahan untuk berlaku di Mesir.


Siapa Hosni Mubarak

Hosni Mubarak atau nama penuhnya Muhammad Hosni Sayid Sayid Ibrahim Mubarak telah menjadi presiden Mesir selama 30 tahun semenjak tahun 1981. Beliau menjadi Presiden Mesir pada ketika itu menggantikan Anwar Sadat yang telah dibunuh pada tahun tersebut. Ketika itu, beliau merupakan Naib Presiden Mesir. Beliau juga merupakan bekas askar Tentera Udara Mesir.

Sepanjang pemerintahan beliau, demokrasi yang diamalkan di Mesir adalah demokrasi plastik berikutan banyak sekatan-sekatan politik yang dilaksanakan dan menyekat kebebasan politik dan hak asasi manusia di Mesir. Hosni Mubarak juga sudah terselamat daripada 6 cubaan membunuh beliau. Ada khabar angin mengatakan bahawa beliau mempersiapkan anak beliau sendiri untuk menggantikan beliau sebagai Presiden Mesir yang baru. Umurnya kini telah mencecah 82 tahun.


Pergolakan dan Krisis di Mesir

Kebangkitan dan krisis yang berlaku di Mesir ada dikaitkan juga dengan apa yang berlaku di Tunisia baru-baru ini. Namun, krisis yang berlaku di Mesir mendapat perhatian umum kerana kedegilan Hosni Mubarak untuk turun daripada kerusi Presiden yang didudukinya hingga kini. Bermula dengan beberapa siri tunjuk perasaan di sekitar Kaherah, keadaan bertambah buruk apabila khidmat Polis Mesir dihentikan dan Tentera mengambil alih tugas tersebut menyebabkan banyak banduan yang keluar dari penjara Mesir. Sebilangan daripadanya adalah tahanan dari Palestin dan mereka sudah pulang ke Gaza dan Tebing Barat, sebilangan lain pula adalah tahanan daripada Ikhwaanul Muslimin dan sebilangan lain ialah dalam kalangan penjenayah, perompak dan lain-lain.

Apa yang membimbangkan adalah penjenayah-penjenayah yang sudah terlepas ini telah menambahkan lagi kekacauan yang berlaku sehingga menyebabkan beberapa demonstran pulang ke rumah masing-masing bagi mempertahankan tempat kediaman mereka. Setakat ini ramai antara demonstran yang tercedera dan terbunuh berikutan krisis yang sedang berlaku di Mesir.


Pandangan Rakan Masjid berkenaan Krisis di Mesir

Setakat ini, di pihak mahasiswa Universiti Teknologi PETRONAS sendiri banyak yang memberi respon masing-masing berkenaan apa yang berlaku. Perbincangan hangat berlaku di Google Group An-Nasru Ilal Huda yang juga merupakan Google Group bagi mereka yang pernah terlibat dengan event-event di bawah Rakan Masjid. Melihat respon terhadap isu tersebut telah menampakkan ada kesedaran dalam kalangan mahasiswa di kampus UTP.

Tidak kurang ada yang mendoakan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir dan juga mendoakan keselamatan umat di Mesir. Ada juga yang berkongsi beberapa link yang boleh dilawati berkenaan isu yang sedang berlaku. Ditambah lagi dengan respon daripada Penasihat Rakan Masjid sendiri iaitu Ustaz Rahmat bin Abu Seman selaku Eksekutif Kanan Unit Pentadbiran Masjid UTP berkenaan sudut pandang beliau dalam isu ini.

Dari pihak Rakan Masjid, kami memandang apa yang berlaku di Mesir sebagai kemuncak kesabaran rakyat yang telah menderita hidup dalam suasana kuku besi pemerintahan Hosni Mubarak. Dalam perkembangan terkini juga, Ikhwaanul Muslimin telah menyatakan akan menyokong Mohamed El-Baradei sebagai calon Presiden yang baru untuk menggantikan Hosni Mubarak. Walaupun Hosni Mubarak masih enggan turun dan telah melantik dua rakannya menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Mesir, masalah tak akan dapat diselesaikan kerana rakyat mahukan beliau turun daripada takhta beliau.

Maka kami di sini menyokong sekiranya Hosni Mubarak berundur daripada kerusi Presiden dan digantikan dengan orang lain. Kedegilan beliau daripada berbuat demikian akan membuatkan krisis yang berlaku sekarang menjadi lebih teruk dan bakal mencetuskan peperangan di Mesir. Sekiranya beliau masih mahu melihat keamanan di Mesir, beliau perlu turun daripada kerusi beliau secara rela.


Penutup

Sebagai penutup, sedikit renungan buat kita sebagai manusia yang mana mendapat tugas daripada Allah sebagai Khalifah di muka bumi untuk memakmurkan bumi. Maka laksanakanlah amanah ini sebaiknya. Jangan berlaku zalim kepada masyarakat dan anak buah kita. Sebagai seorang pemimpin, kita patut menjaga hak Allah yang sepatutnya dijaga dan dipelihara dan jangan dizalimi sistem tersebut. Mungkin sekarang kita berada di atas tapi Allah juga ada perancangannya tersendiri dan perancangan Allah itulah yang terbaik. Moga krisis pergolakan di Mesir dapat diselesaikan secara aman. Sama-sama kita doakan

Insya Allah.


Berikut sedikit video yang boleh ditonton dan dihayati bersama

Sumber: MTMERM

0 comments:

Post a Comment

 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails