KUALA LUMPUR, 27 Sept: Seluruh mahasiswa sekali lagi diseru turun ke himpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, esok bagi mendengar keputusan perbicaraan kes empat pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kesemua mereka iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha, dan Wong King Chai ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Mereka didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata, SMM mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan empat orang mahasiswa berkenaan dan bersetuju untuk menganjurkan himpunan besar-besaran jam dua petang esok sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan mahasiswa atas nama hak yang terkandung dalam perlembagaan.
"SMM mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda dan segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok untuk sama-sama kita dengar keputusan kes dan pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas empat orang mahasiswa UKM ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, bercakap kepada Harakahdaily, Setiausaha Solidariti Mahasiswa, Mohd Ridzuan Othman berkata, pihaknya berharap agar mahkamah sekali lagi mempamerkan keadilannya seperti yang ditunjukkan dalam kes lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dibebaskan dari pertuduhan menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.
"SMM sekali lagi berharap kemenangan berpihak kepada mahasiswa seperti kemenangan kita pada 24 September lepas," katanya.
Tegasnya juga, mahasiswa tidak sewajarnya terus tunduk di bawah tekanan Auku.
"Auku sudah lama mencengkam mahasiswa. Hak kebebasan mahsiswa disekat. Saya berharap keputusan esok menjadi sinar baru buat mahasiswa.
"Saya juga menyeru mahasiswa untuk meneruskan gelombang kebangkitan mahsiswa dengan hadir untuk satu tujuan, menolak Auku dalam lanskap hidup mahasiswa," katanya.
0 comments:
Post a Comment