Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Senergy International Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membngunkan program penyelidikan, termasuk mengenai penyambungan sumber tenaga boleh diperbaharui ke grid tenaga elektrik kebangsaan.
Pada majlis itu, UTP diwakili naib canselornya Prof Datuk Dr Zainal Abidin Kasim dan timbalan naib canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Abdul Rashid A Aziz, manakala Senergy International Sdn Bhd diwakili pengarahnya Ekrami Daud serta ketua pegawai eksekutif Prof James McCallum.
Zainal Abidin berkata untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi tenaga dan cabaran terhadap alam sekitar, penyelidikan yang akan dijalankan bertujuan mencari penyelesaian bagi masalah bekalan tenaga elektrik berkekalan untuk masa akan datang.
“Gandingan penting dengan Senergy ini adalah sejajar dengan pembangunan holistik graduan UTP serta membantu kami ke arah melahirkan dan membantu bakal pemimpin industri dalam memenuhi keperluan tenaga manusia negara ini,” katanya pada majlis itu.
Beliau berkata Senergy juga bermurah hati memberi lesen perisian bernilai lebih US$3 juta kepada UTP untuk melengkapi penyelidiknya dan pelajar jurusan kejuruteraan petroleum geosains universiti itu dengan kemampuan penilaian standard industri.
– BERNAMA
0 comments:
Post a Comment