Wednesday, July 13, 2011

Sultan Perak mahu pentadbir IPT bijak imbangi tuntutan semasa

2011/07/13

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah mahu pentadbir institusi-institusi pengajian tinggi supaya berusaha mengimbangkan tuntutan perubahan semasa dengan sejarah serta iklim ekonomi dan sosiopolitik setempat. 

Titah baginda, perkara itu perlu supaya para graduan yang dihasilkan dapat berperanan sebagai jambatan penghubung di antara tradisi dengan modenisasi."Ini untuk memastikan bahawa tamadun sesuatu negara bangsa akan terus dapat dipertahankan dan menjadi asas kepada pengukuhan jati diri seseorang warga.

 
Setiap institusi latihan bertanggung jawab mengembangkan pemikiran pelajar melalui kurikulum yang kemas kini demi memastikan berlakunya pembangunan insan secara menyeluruh lagi seimbang," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-5 Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) di sini, hari ini. 

Sultan Azlan bertitah, institusi-institusi pengajian tinggi ternama dunia masih terus melakukan transformasi demi transformasi untuk memastikan kurikulum pengajian yang disediakan kekal relevan dan siswazah yang dihasilkan mempunyai nilai pasaran dalam iklim dunia yang pesat berubah. 

Baginda bertitah, iklim ekonomi, politik, budaya dan sosial dunia pada hari ini bukan hanya tidak statik malah memperlihatkan tahap perubahan pada kadar kelajuan yang sangat pantas. 

Institusi pengajian yang mengambil masa terlalu lama untuk melakukan transformasi akan tertinggal dan dalam masa yang singkat boleh menjadi jumud, titah baginda. 
"Usaha melakukan transformasi dan penstrukturan semula kurikulum akademik perlu berlaku secara dinamik dan tidak harus dihalang oleh proses birokrasi yang keterlaluan," titah baginda. 

Baginda juga mahu agar semua institusi pengajian memperbaharui dan mengemaskini kurikulum wajib sepanjang masa termasuk penerokaan baru oleh ahli akademik selaras dengan perkembangan terkini terutama dari segi penciptaan teknologi, peralatan, penggubalan undang-undang serta tata cara kerja. 

Sultan Azlan turut berpesan agar semua graduan memanfaatkan ilmu yang diperolehi sebagai bekalan dalam pengembaraan hidup yang lebih panjang. 

Baginda bertitah bahawa ilmu berperanan sebagai penyuluh yang membawa cahaya terang dan mengeluarkan insan dari kegelapan dan ilmu hendaklah dijadikan instrumen untuk mencari kebenaran, mempertahankan kebenaran dan memperkatakan kebenaran. 

"Ilmu hendaklah dijadikan instrumen untuk membina keberanian dan memperkukuhkan keyakinan dalam jiwa insan dan memandu manusia melakukan amal makruf dan meninggalkan amalan mungkar. 

Sehubungan itu, baginda bertitah ilmu harus terus diperkaya, didalami, dihalusi dan ditingkatkan penguasaannya supaya dengan demikian usaha memperluaskan penguasaan ilmu diteruskan dan tidak harus berakhir di institusi pengajian tinggi sahaja. 

Sempena majlis itu, Sultan Azlan berkenan menyampaikan sijil dan diploma kepada 183 graduan dari 6 jurusan termasuk Syariah Islamiyyah, Usuluddin, Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Teknologi Maklumat, Perbankan dan Kewangan Islam. 

Sehingga ini, Kisdar mengeluarkan 789 graduan sejak beroperasi sembilan tahun lalu dan daripada jumlah itu kira-kira 110 dari mereka berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara. 

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Rektor Kisdar Prof Madya Dr Jamil Hashim. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

siswaonchat

Disclaimer

This website is not under Universiti Teknologi PETRONAS responsibility.

The materials are provided "as is" and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The UTPdaily team and Univesiti Teknologi PETRONAS shall NOT be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or materials obtained from this website.

Categories

UTP Daily Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template

/*VISITORS COUNTER*/ /*RELATED POST AT THE BOTTOM*/ Related Posts with Thumbnails